Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

PASUKAN penyelamat mengangkat mayat wanita yang dipercayai meninggal dunia sejak lima hari lalu di Kota Samarahan. FOTO Ihsan Pembaca.
Kuching: Wanita warga emas yang cacat penglihatan terpaksa merangkak keluar dari rumah ke Jalan Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan bagi mendapatkan bantuan selepas beberapa hari tinggal bersama mayat anak perempuannya.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, sebelum itu anak wanita terbabit yang berusia 48 tahun mengadu sakit dada dan sesak nafas pada 30 November lalu.
Menurutnya, wanita berusia 69 tahun menyedari anaknya sudah meninggal dunia, namun tidak berupaya berbuat apa-apa, selain berharap ada yang datang membantu.
"Bagaimanapun, bau mayat yang semakin kuat semalam, menyebabkan si ibu tidak lagi mampu bertahan dan mengumpulkan seluruh tenaga untuk merangkak keluar dari rumah dengan berpandukan sentuhan di sepanjang laluan denai sempit sejauh kira-kira 150 meter.
"Wanita itu merangkak dalam keadaan lemah sehingga tiba di tepi jalan besar pada awal pagi hari ini, sebelum ditemui orang awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Damataries berkata, pasukan polis bersama unit forensik yang tiba di lokasi mendapati mangsa sudah meninggal dunia lima hari dan tidak mengesan sebarang unsur jenayah.
Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak dan bedah siasat mengesahkan punca kematian sebagai serangan jantung selepas tiga saluran jantung tersumbat sepenuhnya.
"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan