MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
KOTA BHARU – Seorang guru al-Quran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuat panggilan video kepada kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada Mac hingga Jun lalu.
Tertuduh, Huzaifah Ismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Pemuda itu didakwa berkomunikasi secara seksual menggunakan telefon bimbit dengan mangsa berusia 11 tahun enam bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Kubang Kerian di sini pada 13 Mac hingga 11 Mei lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(1) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 27 akta tersebut.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Huzaifah didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama yang ketika itu berusia 11 tahun sembilan bulan di lokasi sama pada pukul 4.18 pagi, 21 Jun dan 6.01 petang, 26 Jun lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta sama. Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh merupakan guru al-Quran, manakala mangsa adalah anak muridnya.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Nik Mohd. Naqib Mohamad Noor diikat jamindan menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan