FMT Reporters
Mohamad Aswadi Yah sebelum ini berdepan 18 pertuduhan seksual di Kelantan, Terengganu dan Perak.

Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Mudir sebuah madrasah di Kelantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.
Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, yang sebelum ini didakwa atas 18 pertuduhan seksual di Kelantan, Terengganu dan Perak, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, dalam daerah Melaka Tengah, pada 4 Ogos lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa dua lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Irwan Sumad merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang juga bapa kepada empat anak menghadapi masalah kesihatan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan serta menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan