Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Sebuah kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang dipandu seorang guru bersama seorang pekerja kantin terjatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki mengakibatkan kedua-duanya maut.
Kejadian berlaku di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sg Gawi-Aring (Bukit Kawah), 5.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab,mengesahkan kejadian.
Katanya, pemandu MPV dikenali sebagai Hassan Shazali, 52, merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke rumahnya di Gua Musang, Kelantan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke arah Gua Musang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa melalui jalan yang telah ditutup akibat tanah runtuh dan kenderaan mangsa terbabas jatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki,” katanya.
Akibat kejadian itu pemandu dan penumpang MPV Suzaimah Che Azis, 34, pekerja kantin sekolah dari Kampung Rahmat RKT Kesedar Lebir, Gua Musang, tercampak keluar daripada kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan Persekutuan manakala permukaan jalan tidak rata dan telah ditutup kepada semua kenderaan, kawasan itu juga merupakan kawasan tanah runtuh dan kejadian berlaku pada waktu siang dalam keadaan cuaca baik.
Sharudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan