"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Ahli Parlimen Padang Serai sahkan ditahan SPRM, akan didakwa Isnin ini

Noorazura Abdul Rahman
Azman menyatakan bersedia hadapi tuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Isnin ini. – Foto fail NSTP
ALOR SETAR: Ahli Parlimen Padang Serai mengesahkan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.

Datuk Azman Nasrudin bagaimanapun mempersoalkan tindakan menukar statusnya daripada saksi kepada tertuduh.

Katanya, beliau sebelum ini hadir ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan projek fidlot di bawah Kedah Agro namun menerima arahan mengejut pagi semalam untuk bertemu pegawai penyiasat di R&R Sungai Buloh arah utara.

“Setibanya di lokasi, saya dimaklumkan bukan lagi dipanggil untuk memberi keterangan, sebaliknya akan didakwa di mahkamah.

“Pertukaran status ini terlalu drastik. Saya percaya ada unsur tekanan politik untuk menjatuhkan imej saya sebagai wakil rakyat Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya hari ini.

Beliau mendakwa turut dimaklumkan, dua lagi individu akan dituduh bersama beliau di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Isnin ini.

Azman menjelaskan walaupun tidak bersetuju dengan cara penahanan itu dibuat, beliau tetap akan hadir pada jam 8.30 pagi untuk mendengar pertuduhan dan mempertahankan dirinya di mahkamah.

“Saya bersedia hadapi tuduhan ini. Kita akan lawan ikut saluran undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Azman mendakwa tindakan terhadapnya berlaku hanya beberapa hari selepas beliau mengulas isu integriti membabitkan setiausaha politik Perdana Menteri.

“Selepas saya bangkitkan perkara itu, saya pula yang ditahan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan seorang ahli Parlimen susulan aduan diterima pada 10 Februari lalu, dengan siasatan membabitkan 15 saksi yang sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes projek ternakan lembu berkenaan.

Tiada ulasan: