FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang individu yang bergurau mendakwa ada bom di KLIA ditahan dan diserahkan kepada polis, menurut pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports.
Ancaman bom dikatakan itu ternyata palsu, mula dilaporkan pada 5.32 petang semalam sebelum penerbangan berjadual berlepas di Terminal 1.
“Pasukan keselamatan penerbangan telah mengaktifkan protokol respons yang diperlukan, mengawal kawasan tersebut dan menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan,” kata Malaysia Airports, merujuk kepada polis dan unit pemusnah bom.
Pihak berkuasa mengesahkan pada 8.58 malam bahawa ancaman itu palsu.
“Semua penumpang kekal selamat sepanjang proses itu,” kata Malaysia Airports sambil menambah penerbangan berjadual tersebut berlepas pada 7.19 malam.
Pihaknya juga mengingatkan pengembara bahawa membuat ancaman palsu merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia.
Menurut hantaran media sosial, ancaman itu ditulis pada tag bagasi salah satu beg yang didaftar masuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan