KOSMO

PEMANDANGAN dari udara sebuah kawasan yang musnah dilanda kebakaran hutan di Concepsion, Chile kelmarin. – AFP
SANTIAGO – Kebakaran hutan tidak terkawal mengancam penduduk di selatan Chile, meninggalkan kemusnahan dan meragut sekurang-kurangnya 19 nyawa, kata pihak berkuasa kelmarin.
Lebih 50,000 orang hilang tempat tinggal akibat kebakaran yang berlaku selama dua hari di wilayah Nuble dan Biobio, kira-kira 500 kilometer ke selatan Santiago, diburukkan lagi akibat angin kencang serta cuaca panas.
“Pada pukul 2.30 pagi, api di luar kawalan. Terdapat puting beliung api memusnahkan rumah-rumah penduduk,” kata pelajar berumur 25 tahun di Penco, Matias Cid kepada AFP.
“Kami terpaksa keluar sehelai sepinggang. Jika kami tinggal 20 minit lagi, kami pasti hangus,” katanya.
Kebanyakan kematian setakat ini berlaku di Penco, kata Datuk Bandar Rodrigo Vera.
Di lokasi berhampiran, Lirquen yang merupakan bandar pelabuhan kecil dengan kira-kira 20,000 penduduk, keadaan juga sama teruk, dengan penduduk menceritakan bagaimana api merebak ‘dalam masa beberapa saat’.
“Ramai penduduk terselamat daripada kebakaran kerana mereka berlari ke pantai,” kata Alejandro Arredondo, 57, kepada AFP.
Dalam pada itu, Presiden Gabriel Boric mengisytiharkan darurat di Nuble dan Biobio ketika hampir 4,000 anggota bomba bergelut untuk memadamkan kebakaran hutan yang marak di hemisfera selatan itu.
Perintah itu membenarkan penempatan angkatan tentera untuk membantu. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan