"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita maut terperangkap dalam kebakaran bilik sewa

Kadir Edison
Foto JBPM Sarawak
SARIKEI: Seorang wanita maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah bilik sewa di tingkat empat bangunan kedai di belakang sebuah bank, Jalan Repuk, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.51 petang itu, mangsa, Priscilla Ida Francis, 31, ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air rumah sewa berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.54 petang dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik berkeluasan kira-kira 300 kaki persegi yang dijadikan rumah sewa di tingkat empat sebuah bangunan kedai.

“Kebakaran memusnahkan kira-kira 60 peratus bilik berkenaan dan turut melibatkan seorang mangsa wanita dewasa yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian terbabit.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakkan lanjut sebelum operasi terbabit ditamatkan pada jam 7.55 malam.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tiada ulasan: