FMT Reporters
Timbalan penolong pengarah imigresen itu didakwa menerima suapan RM140,000 untuk membenarkan 56 warga Bangladesh memasuki Malaysia tanpa ikut prosedur.
Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.
PETALING JAYA: Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas empat pertuduhan menerima suapan RM140,000 untuk membenarkan 56 warga Bangladesh memasuki negara tanpa mengikut prosedur tahun lalu.
Harian Metro melaporkan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Mastura Aziz, 49, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Wanita itu didakwa menerima suapan wang berjumlah RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang warga asing sebagai upah melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mengikut prosedur imigresen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah, stesen minyak dan Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar di Sepang antara 3 hingga 15 Mei tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Tetapi, peguam Geethan Ram Vincent memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak pernah gagal hadir ke pejabat SPRM setiap kali dipanggil memberi keterangan, tiada risiko melarikan diri dan sedia menerima sebarang syarat dikenakan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan.
Mahkamah menetapkan 25 Feb untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan