"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Dua termasuk seorang warga asing ditahan terlibat perlombongan emas secara haram, peralatan dan jentera bernilai RM640,000 disita

Ing Boon Seng
Sebahagian peralatan dan jentera yang digunakan untuk aktiviti perlombongan emas secara haram di Gua Musang dirampas.
Foto ihsan PSP Bukit Aman
KUALA LUMPUR: Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman membongkar aktiviti perlombongan emas secara haram hasil penahanan dua lelaki di kawasan ladang sawit Sungai Terah, Guan Musang, Kelantan.

Pelbagai peralatan, jentera dan kenderaan yang dianggarkan bernilai lebih RM640,000 disita.

Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata serbuan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah dijalankan Pasukan Risik PSP Bukut Aman, Jabatan Keselamatan Dalan Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan jam 6 petang semalam.

Bertindak atas maklumat risikan, dua lelaki termasuk seorang warga Myanamar yang dikesan dalam keadaan mencurigakan ditahan untuk siasatan.

Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah serta lesen perlombongan yang dibenarkan.

“Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa menyita pelbagai jentera dan peralatan termasuk dua buah jengkaut, sebuah pacuan empat roda, enjin pam penyedut, palong, diesel dan karpet pemprosesan yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

Tambah SAC Rosli, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengeksploitasi khazanah negara secara haram demi kepentingan peribadi.

Menurut beliau, pendekatan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang dilaksanakan melalui operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan telah membolehkan tindakan diambil secara menyeluruh, pantas dan berimpak tinggi, bukan sahaja dari sudut penguatkuasaan jenayah, malah merangkumi aspek tanah, imigresen dan keselamatan negara.

“Aktiviti perlombongan emas secara haram bukan sekadar menyebabkan kerugian kepada negara dari segi hasil, malah membawa ancaman serius terhadap alam sekitar, keselamatan awam serta kedaulatan undang-undang.

Justeru, tindakan tegas dan bersepadu akan terus dilaksanakan tanpa pengecualian,” tegas beliau.

Tiada ulasan: