"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tembak Mati Tiga Suspek: LFL Gesa Tubuh Suruhanjaya DiRaja


SHAH ALAM, 16 NOV: Peguam untuk Kebebasan (LFL) menggesa penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kesemua kes polis menembaki mati suspek sepanjang dekad lalu.

Dalam satu kenyataan media oleh LFL hari ini, LFL juga mendesak siasatan bebas dijalankan ke atas insiden terbaru polis menembak mati tiga suspek dengan mendedahkan hasil siasatan kepada orang awam.

Peguam, N Surendran menyuarakan kebimbangan beliau terhadap terbaru pembunuhan tiga suspek yang ditembak mati oleh polis awal pagi Sabtu 13 November lalu di Glenmarie, Selangor.

Ketiga-tiga suspek berkenaan ialah Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16 tahun, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20 tahun dan Mohd Hanafi Omar, 22 tahun.

Walaupun salah seorang daripada mereka merupakan seorang remaja berusia 16 tahun tetapi Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan menuduh kesemua mereka sebagai penjenayah yang telah lama bermaharajalela.

Beliau berkata polis mendakwa ketiga-tiga suspek merupakan ahli kumpulan perompak 'Geng Minyak' yang mensasarkan stesen minyak.

"Mereka (polis) mendakwa suspek cuba menyerang mereka dengan parang dan polis terpaksa menembak mati untuk mempertahankan diri dan cerita ini sukar dipercayai.

"Sekiranya benar suspek membawa parang dan bukannya senjata api, adakah perlu menembak mati suspek dan mengapa tiada tembakan amaran dilepaskan? Tidak logik sama sekali suspek yang hanya membawa parang akan meluru ke arah polis yang melepaskan tembakan bertubi-tubi," kata beliau.

Beliau seterusnya menyatakan terdapat persamaan yang meragukan dalam alasan yang diberi oleh polis setiap kali berlakunya kes polis menembak mati suspek.

"Dalam hampir setiap kes, polis mendakwa mula mengejar apabila suspek cuba melarikan diri dan kemudian suspek cuba menyerang polis maka polis menembak mati suspek.

"Tiada suspek yang pernah melalui situasi ini pernah terselamat. Tambahan itu, polis akan mendakwa menjumpai senjata di dalam kenderaan suspek dan menuduh si mati terlibat dengan pelbagai jenayah yang mana sudah tentu suspek tidak lagi dapat mempertahankan diri," jelas beliau lagi.

Surendran berkata, remaja 14 tahun yang ditembak mati April lalu, Aminulrasyid Amzah juga dituduh sebagai penjenayah yang menggunakan parang.

"Cerita standard polis yang dikeluarkan setiap kali berlakunya insiden sebegini amat tidak logik," kata beliau.

Beliau menjelaskan prosedur antarabangsa polis menyatakan senjata api hanya boleh digunakan untuk mempertahankan diri dan amaran yang jelas perlu diberi dengan memberikan masa respons yang mencukupi.

"Adakah prosedur ini dilaksanakan dan diikuti oleh PDRM? Ini amat diragui, jika dilihat kes-kes lalu," tegas beliau.

Surendran juga mempersoalkan sebab pihak berkuasa masih tidak mahu mendedahkan kepada orang awam berkenaan prosedur penggunaan senjata api dan sebab ia perlu dirahsiakan.

Beliau seterusnya meminta polis agar mengikuti prosedur antarabangsa polis dan tidak melakukan sewenang-wenangnya dengan alasan pencegahan jenayah.

-tvsnews-

Tiada ulasan: