"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuduh berkhalwat dengan janda: Aman Shah mengaku tidak bersalah

PUTRAJAYA: Selepas mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Syariah pada 3 November lalu, penyanyi dan pelakon Aman Shah yang dituduh berkhalwat dengan janda beranak dua di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, pada 26 September lalu, bakal dibicarakan pada 12 Januari depan.

Sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata, beliau yakin pihak pendakwaan bersedia mengemukakan fakta berkaitan pertuduhan yang dikenakan terhadap artis lingkungan 50-an terbabit.

Menurutnya, artis terbabit mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan mengikut Seksyen 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dibacakan terhadapnya.

“Mahkamah menetapkan 12 Januari bagi membolehkan perbicaraan dilakukan dan sudah pasti artis terbabit diminta membawa peguam untuk mewakilinya nanti,” katanya, semalam.

Muka depan Harian Metro 27 September lalu melaporkan mengenai penahanan seorang penyanyi veteran era 1980 dan awal 1990-an di rumah ‘kekasih gelapnya’ di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, selepas didapati berdua-duaan di rumah terbabit.

Artis terbabit dikatakan memasuki rumah kekasihnya yang juga kakitangan kerajaan kira-kira jam 10 malam sebelum sepasukan anggota penguat kuasa Jawi menyerbu rumah terbabit selepas mendapat aduan berlakunya perbuatan khalwat.

Walaupun memberikan alasan mengunjungi wanita beranak dua itu sempena Aidilfitri, alasan berkenaan tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi, malah artis terbabit mengakui dia bukan mahram dengan wanita terbabit.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, tidak wujud sikap pilih kasih terhadap artis terbabit walaupun hanya dihadapkan ke mahkamah selepas hampir 40 hari dicekup berkhalwat dengan janda terbabit.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap mereka yang menghadapi pertuduhan syariah dijalankan tanpa mengambil kira latar belakang tertuduh.

Menurutnya, ia termasuk artis terbabit yang tetap dihadapkan ke mahkamah walaupun mengambil sedikit masa bagi membawanya ke mahkamah.

“Sebenarnya, masalah pilih kasih tidak berbangkit walaupun kes itu mengambil masa untuk dibawa ke mahkamah dan ia mungkin disebabkan beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan, terutama apabila ia membabitkan pertuduhan jenayah syariah.

“Apa yang pasti, artis terbabit sudah dituduh di mahkamah syariah atas pertuduhan khalwat dengan janda beranak dua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sama ada artis terbabit mengaku salah atau tidak, ia adalah haknya mempertahankan diri di mahkamah.

Menurutnya, apabila mengaku tidak bersalah mahkamah akan menetapkan tarikh bagi membolehkan artis terbabit membawa peguam bagi menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Artis terbabit didakwa mengikut Seksyen 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
-hmetro-

Tiada ulasan: