"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pulau Pinang tubuh Yayasan Islam

Mohd Sabri Said
PENANTI, 21 Jan: Kerajaan negeri meluluskan penubuhan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang tetapi lokasinya belum dipastikan lagi, kata Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman.

Jelasnya, namun berapa peruntukan belum lagi dinyatakan dengan jelas kerana ia dalam proses mengenal pasti tanah dan perbelanjaan keseluruhan.

"Masyarakat Islam sekali lagi menerima berita gembira apabila Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang. Penubuhan itu sekaligus boleh meningkatkan syiar Islam selepas Kerajaan Pakatan Rakyat memberikan kenaikan peruntukan untuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) berbanding di era pentadbiran Barisan Nasional (BN), " ujarnya ketika ditemui di majlis penyampaikan anak kunci rumah kepada warga emas Encik Taha Daud di Tanah Liat, Bukit Mertajam pagi tadi.

Menurut beliau, pembentukan Yayasan Islam Pulau PInang akan melaksanakan mana-mana tugas yang tidak dimainkan oleh Maipp mahupun Jabatan Agama Islam Pulau PInang (Jaipp).

Golongan profesional akan dipanggil mengendalikan Yayasan Islam Pulau Pinang ini selain mencari perbagai kaedah untuk diketengahkan sebagai cadangan peranan yayasan itu kelak.

"Yayasan itu nanti bukan menjalankan tanggungjawab yang bertindih dengan Maipp dan Jaipp sebaliknya menjalankan aktiviti yang lain asalkan ia melibatkan kepentingan umat Islam sejagat," tegasnya.

Sebelum itu, Yang Dipetua Maipp, Ustaz Elias Zakaria berkata, Pusat Urus Zakat (PUZ) telah pun memperuntukan RM15 ribu untuk membina rumah Taha Daud yang sebelum ini tinggal keseorangan di rumah usang di Kampung Tanah Liat.

Dengan bantuan itu menjadikan pada tahun 2010 PUZ telah membina 30 buah rumah yang menelan belanja RM900 ribu.

Manakala kerja baik pulih rumah pula melibatkan 164 rumah keseluruhan Pulau Pinang dengan kos RM1.7 juta di tahun yang sama.

"Memandangkan kita tidak mahu ada lagi individu Islam hidup melarat maka PUZ akan membantu bagi meningkatkan emej Islam agar dipandang tinggi oleh masyarakat bukan Islam," terangnya.

Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan YDP Maipp, Ustaz Saleh Man, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Hasan Ahmad dan Pengarah PUZ, Dr Azman Samat.

Tiada ulasan: