"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu bas ekspres riba wanita dipecat

FMT Reporters

Sri Maju Group berkata tingkah laku dalam video tular disifatkan pelanggaran serius terhadap SOP syarikat.
dating bawa bas
Tindakan seorang pemandu bas meriba seorang wanita ketika memandu turut diadukan kepada polis dan Apad.
PETALING JAYA: Sri Maju Group bertindak memecat pemandu bas ekspresnya yang dirakam meriba seorang wanita ketika memandu.

Kata syarikat itu, mereka juga membuat laporan polis terhadap lelaki berkenaan, termasuk mengemukakan aduan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

“Kami dengan ini memohon maaf dengan setulus-tulusnya dan tanpa sebarang syarat kepada semua penumpang terlibat serta orang awam.

“Setiap perkhidmatan awam berhak menerima perkhidmatan yang selamat, bertanggungjawab, dan profesional pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak syarikat sedang melaksanakan pemasangan sistem pengawasan video bagi pemandu dan dalam bas milik syarikat yang masih belum dilengkapi sistem berkenaan.

“Rakaman video tersebut amat mengecewakan, membimbangkan dan sama sekali tidak boleh diterima. Keselamatan serta keselesaan para penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami.

“Tingkah laku yang dipaparkan dalam video tersebut merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard syarikat, selain bercanggah sama sekali dengan tataetika profesional yang kami tetapkan bagi semua pemandu kami.”

Terdahulu, tular video dipercayai dirakam penumpang bas memaparkan seorang wanita duduk di atas riba pemandu terbabit ketika bas berkenaan sedang bergerak.

Wanita tersebut juga dilihat mengendalikan stereng kenderaan yang sedang bergerak di lebuh raya.

Berita Harian melaporkan, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kulai, Johor ketika kejadian dirakam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sudah memanggil pemandu berkenaan untuk direkodkan keterangan.

Tiada ulasan: