"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salahkah artis mempunyai pendirian politik?

Mazir Ibrahim
http://4.bp.blogspot.com/-IdlLwrazNu4/TggMzttT6yI/AAAAAAAADzQ/g2fCUtIotEM/s1600/wardina.jpgBaru-baru ini timbul isu pihak tertentu mendakwa artis Wardina Safiyyah telah turun padang dalam satu program anjuran PKR yang kononnya membuktikan pengacara TV itu menyokong parti politik Pakatan Rakyat itu.

Tuduhan itu dinafikan oleh beliau yang menjelaskan bahawa penyertaannya dalam satu majlis anjuran PKR itu adalah atas tiket jemputan sebagai penceramah motivasi dan atas undangan kawan lamanya, Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor.

Apa pun faktanya, dalam dunia profesional termasuk artis, seharusnya tidak timbul langsung isu siapa sokong siapa. Bukankah apa saja kerja, kempen atau program yang menjurus ke arah kebaikan masyarakat wajar disokong, lebih-lebih lagi sebagai seorang artis yang menjadi pesona kepada masyarakat umum.

Namun di Malaysia, negara yang dikatakan amat membangun tetapi ruang umum (public sphere) dalam konteks pandangan dan beraktiviti amat tidak universal. Sudah lah industri seni dan hiburan kita terus merudum, untuk hadir dan memberi komitmen atas dasar kemasyarakatan pun dilihat salah.

Pendirian politik hak peribadi
Budaya media UMNO-BN sentiasa menanam rasa kebencian dan ketaksuban pada artis dan seniman demi manfaat politik sempit parti kerajaan. “Neutral ground’ bagi mana-mana profesional sekalipun sudah tidak wujud.

Berbeza pula dengan isu Bob Lokman atau Akil Hayy yang secara terang-terang memilih untuk berpihak kepada parti, dalam kes ini,  PAS. Mereka ini memang mahu meninggalkan dunia seni dan hiburan atas keyakinan peribadi. Maksudnya mereka memang mahu memilih diatas satu landasan.

Walaupun dalam kes Akil Hayy yang dilihat sudah mula kembali kepangkuan arus perdana (baca: dunia artis kongkongan UMNO-BN),  itu pun tidak sepatutnya menjadi masalah bagi parti atau dirinya.

Ia adalah hak dan kebebasan beliau untuk memilih. Parti tidak perlu menyerang atau mempertikaikannya selagi pendirian politiknya tidak menjejaskan prestasi profesionalnya, sama ada sebagai pengacara TV atau dalam dunia nyanyian atau lakonan.

Kita tahu, malah UMNO-BN juga sedar, ramai artis khususnya yang muda secara dasarnya bersetuju atau menyokong usaha Pakatan Rakyat dalam konteks perubahan pentadbiran dan sistem.

Mereka sudah muak dan bosan dengan kongkongan pemimpin-pemimpin kerajaan BN yang masih bermimpi dunia hiburan tahun-tahun 70-dan dan 80-an. Artis-artis ini mahu kebebasan berekspresi. Dan ramai, kalau pun tak semua, pemimpin Pakatan Rakyat yang lebih sensitif kepada keperluan artis-artis ini.

Namun ini tidak bermakna golongan artis tidak profesional jika mempunyai pendirian politik atau menjadi ahli parti.

Antara nasihat dan amaran
Seorang karyawan Jurey Latif Rosli dilaporkan oleh media arus perdana telah memberi ‘nasihat’ kepada golongan artis supaya tidak terlibat dengn kempen Bersih 2.0 yang didakwanya merugikan diri dan menyusahkan masyarakat.

Warga seniman yang terbuka, bebas dan kreatif, tidak perlu menolak atau menerima pandangan itu, tidak kira atas kapasiti peribadi atau persatuan yang diwakilinya kerana itu hak beliau bersuara.

Namun sebagai seorang yang profesional, kenyataan itu tidak memperlihatkan kematangannya, baik dalam memahami politik mahupun berkarya dalam konteks yang universal. Kerana, siapa pun artis atau seniman yang ingin terlibat dalam kempen Bersih 2.0 ini, adalah atas kapisiti peribadi dan kehendaknya sendiri.

Kenyataan Jurey Latif ini bukanlah kenyataan biasa, sebaliknya berupa ‘amaran’ kepada artis. Begitu peribadi sekali komen beliau.

Mungkin ada juga golongan artis yang mahu kempen ‘kipas’ politik Pak Menteri untuk status diri atau kepentingan peribadi lain.

Artis dan seniman tak perlu malu dan takut atas pendirian politik mereka, setiap orang memang berbeza pendirian dan pendapat, bukankah itu lumrah alam?

Namun, gunakanlah kebijaksanaan dan kreativiti sendiri untuk – bagaimana mahu meloloskan diri dalam industri dan politik yang serba kejam pada hari ini.

Keikhlasan Pak Samad
Malah, siapalah artis-artis yang “carma” (cari makan) itu berbanding Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang walau pun ditekan intimidasi polis kerana sokongannya kepada kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman, tetap teguh dengan pendiriannya sebagai seniman yang memperjuangkan kebenaran.

Walau pun sajaknya “Unggun Bersih” dianggap “senjata” merbahaya oleh pihak berkuasa kerana dihadiahkannya untuk perhimpunan aman Bersih 2.0, Pak Samad tetap kental dengan pendiriannya.

Bukan sahaja artis diminta menyatakan pendirian, beliau juga mahu para intelektual supaya berhenti menjadi “carma”supaya berani membuat pendirian terhadap kekejaman, kezaliman dan ketidakadilan.

Buat Juey Latif dan mereka yang masih diselimuti kongkongan UMNO-BN, Pak Samad sekali lagi mencatatkan suara hatinya tentang apa itu erti kebebasan berkarya dan berekspesi dalam nukilan terbarunya “Peludah Warna”:

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

Sajak ini bukan sahaja pemberi harapan, ia juga buat renungan semua yang merasakan diri ditindih dan ditimpa duri dan air mata.

Sepatunya ia juga menjadi inspirasi buat artis-artis yang mahukan perubahan sebenar dan bukannya terikat dengan kawalan oleh rejim pemerintah. Sama ada menyokong Bersih 2.0 atau tidak, ia tetap pendirian peribadi golonga karyawan.

Yang penting, ia adalah keputusan sendiri yang dibuat setelah mengetahui baik buruk keadaan sekeliling, dan bukan kerana diberi amaran atau hasutan oleh mana-mana pihak yang mengaku mewakili golongan karyawan. 
-Roketkini.com-

Tiada ulasan: