"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kekerasan polis: Menteri Kesihatan Pembohong - Suhakam

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 13 Julai: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tidak berasas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menafikan tindakan kekerasan pihak polis ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Sebaliknya, pihak Suhakam sendiri turut melihat sendiri penggunaan kekerasan melampau pihak polis terhadap para peserta, apabila Suhakam dengan 35 orang pegawainya turut memantau perhimpunan tersebut.

Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha’ani Abdullah menegaskan, malah beliau sendiri yang turut turun ke perhimpunan itu bagi melakukan pemantauan turut melihat dengan jelas tindakan kekerasan pihak polis terhadap para peserta termasuk di lokasi yang dinafikan oleh Tiong Lai.

Menurut beliau, kenyataan Menteri Kesihatan yang mengatakan polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin di Jalan Pudu ketika menyuraikan perhimpunan itu tidak benar.

"Sebenarnya, pihak polis memang menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin. Saya sendiri telah lihat tindakan polis itu.

"Saya sendiri juga turut melihat tindakan kekerasan yang dilakukan polis semasa menangkap peserta. Cara yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, satu pencabulan, satu penyalahgunaan kuasa dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena penyerahan memorandum oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia mengenai tindakan penggunaan kekerasan melampau pihak polis terhadap para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 di pejabat Suhakam, di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga, merupakan satu pencabulan undang-undang.

"Mereka (polis) telah merancang untuk menahan mereka, tetapi ia sekadar penahanan sahaja bukan untuk diambil keterangan.

“Kita tidak boleh terima tindakan begitu dalam negara yang dikatakan negara maju, polis telah aniaya mereka dengan menggunakan kekerasan, peserta ditangkap, digari kemudian diarahkan menaiki trak dengan tangan di belakang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua mangsa supaya tampil ke depan dan mengemukakan aduan secara terus supaya pihak Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi.


Kekerasan polis: Suhakam nafi kenyataan Tiong Lai

Tiada ulasan: