"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Erdogan ganti Ahmedinejad jadi tokoh utama

ABU FIRDAUS
http://righttruth.typepad.com/.a/6a00d83451c49a69e201543587bc41970c-800wi

KUNJUNGAN Reccep Tayyip Erdogan disambut hebat oleh rakyat Mesir apabila mereka bersorak meraikannya dengan menjulang gambar beliau di Lapangan Terbang Kaherah.

Sambutan itu mencerminkan sokongan rakyat Mesir terhadap cara kepimpinan Erdogan di Turki, iaitu bersikap demokratik di satu pihak tetapi memihak pada isu-isu umat Islam di peringkat antarabangsa.

Maka tidak menghairankan jika rakyat Mesir mahu pemimpin seperti Erdogan bagi mentadbir negara itu bagi era pasca Mubarak ini.
Justeru, Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan politik terbesar di negara itu menangung tekanan daripada rakyatnya untuk melahirkan seorang pemimpin seperti Erdogan dan parti seperti Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Kesan daripada pentadbiran Erdogan bukan hanya berlaku ke atas Mesir tetapi negara-negara Arab lain yang mengharapkan perubahan demokratik di rantau itu.

Maka tidak hairanlah lawatan Erdogan kali ini bukan saja meliputi Kaherah tetapi juga Tripoli, Libya dan Tunis, Tunisia sebelum berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB).

Hakikatnya ialah umat Islam dunia Arab lebih cenderung kepada Erdogan berbanding Presiden Iran, Ahmedinejad perlu diberi perhatian oleh gerakan Islam di seluruh dunia.

Dalam hal ini, yang boleh diperhatikan ialah kemenangan Raschid Gannouchi dan parti Ennahdha di Tunisia di mana mereka melihat Erdogan dan Turki sebagai contoh.

Walaupun perubahan di Tunisia dan beberapa negara Arab lain berbentuk revolusi, mereka memilih jalan Turki dan bukannya Iran.

Perjuangan gerakan Islam di Turki dan Iran bermula pada waktu kira-kira yang sama, iaitu lewat 70-an. Iran dipimpin oleh Ayatollah Khomeini dan Turki, Necmettin Erbakan.

Maka kini Erdogan adalah pewaris kepada Erbakan sementara Ahmedinejad melanjutkan perjuangan Khomeini.

Kedua-duanya bukan Arab tetapi Revolusi Iran lebih menarik berbanding dengan usaha demokratik yang makan masa panjang oleh gerakan Islam Turki.

Tetapi revolusi tidak dapat dilancarkan di mana-mana negara Arab pada lewat 70-an kerana mereka tidak mampu melakukannya.

Maka tidak ada negara Islam di dunia yang mengikut jejak Iran. Hinggalah pada tahun ini apabila berlaku kebangkitan di dunia Arab. Tetapi berbeza dengan Iran, kebangkitan ini bukan revolusi, apatah lagi revolusi Islam. Tidak ada pemimpin gerakan Islam yang jadi teraju.

Juga tidak seperti Iran, kebangkitan Musim Bunga Arab ini tidak anti-Amerika. Justeru, demokrasi yang dituntut ialah berbentuk Arab dan bukannya sesuatu sistem yang terbit daripada wacana ulama. Walaupun Revolusi Iran mempunyai asas Syiah, ia dikagumi oleh gerakan Islam di Malaysia. Apabila ia berlaku, contoh Ikhwanul Muslimin Mesir telah diganti dengan Iran.

Sebaliknya, apa yang berlaku di Turki dan Tunisia pada lewat 70-an itu hanya menjadi bahan berita perjuangan Islam tanpa ia muncul sebagai contoh.

Tetapi hakikatnya kedudukan PAS lebih hampir kepada Turki berbanding Iran. Bukan saja kerana Turki itu bermazhab Sunni tetapi sistem demokrasi terhadnya ada persamaan dengan Malaysia.

Selepas 20 tahun berlalu, PAS muncul sebagai parti yang berasa memiliki persamaan dengan rakan-rakan seperjuangannya dalam parti Islam di Turki dan dunia Arab berbanding Iran.

Bagi dunia Barat pula, mereka tidak ada pilihan lain daripada bekerjasama dengan gerakan Islam demokratik ini, yang kini dinamakan sebagai sederhana.

Sedangkan gerakan Islam itu tidak ada sederhana atau pelampau. Apa yang dilihat sebagai pelampau seperti Al-Qaeda adalah sebenarnya pentafsiran yang tidak dapat diterima oleh kebanyakan orang Islam.

Tiada ulasan: