"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khutbah larang sedekah, derma

Subky Latif
GARA-gara peminta sedekah yang disendiket memperdagang orang kurang upaya, kanak-kanak dan wanita tua terutama muslimat negara-negara Asia Selatan dan NGO yang kononnya membela orang malang dan tidak bernasib baik, maka JAWI mengeluarkan khutbah Jumaat khusus tentangnya.

Ia mengecam kepincanngan sosial itu dengan segala alasannya. Betapa kejadian yang memalukan itu antaranya adalah dorongan sifat pemurah rakyat jelata yang mudah belas terhadap orang-orang yang tidak bernasib baik seperti miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya, anak yatim dan sebagainya.

Dengan rezeki yang lebih sekalian yang pemurah itu ringan tangan untuk menghulurkan sedekah dan derma kepada orang-orang yang dirasakan memerlukannya.

Sikap dan sifat pemurah itu mulia, tetapi memberi tanpa sebarang curiga boleh dan telah menyuburkan penyakit sosial yang memalukan dan seolah-olah menggalakkan kejadian hina di kalangan manusia.

Adalah keji bagi sendiket yang memperalatkan orang-orang susah dan malang itu untuk mengemiskan dan menyerahkan pungutan mereka kepada sendiket. Pengemis hanya diberi upah mengikut pungutannya tetapi yang mengaut keuntungannya ialah sendiket.

Meski pun ada pengemis bebas yang mendapat pungutan lumayan untuk dirinya, meneruskan perbuatan hina itu disebabkan ia satu cara yang senang mendapat kehidupan mewah, tetapi ada juga orang-orang malang itu dijadikan hamba dengan upah yang ala kadar dan terus kekal sebagai hamba yang diperas selama-lamanya.

Semua tahu bahawa mengemis ada hila dan menipu atas nama golongan susah adalah perbuatan yang terkutuk.

Khutbah Jumaat yang dibaca oleh semua khatib di Wilayah Persekutuan itu dibuat untuk memerangi penyakit sosial itu dengan harapan sekalian umat Islam menjadi pihak di depan dalam jihad membasmi amalan meminta-minta itu.

Kesimpulan dari roh khutbah itu mahu orang Islam berhenti memberi derma dan sedekah. Menanam rasa benci kepada semua bentuk pengemis tidak kira mereka benar-benar susah atau pura-pura susah. Tiada had masa untuk tidak bersedekah dan bersedekah seolah-oleh salah dalam keadaan apa pun.

Saya teringat pada pendirian Dr. Mahathir semasa masih Perdana Menteri terhadap tuding pentadbiran Bush kepada keganasan Islam. Mahathir tidak mahu sekadar menyalahkan keganasan Islam itu saja tetapi yang utama hendaklah dikaji punca keganasan.

Jika teori Dr. Mahathir itu dapat dipakai, perang terhadap punca pengemisan itu adalah lebih aula dari perng terhadap pengemis dan sendiketnya. Apa mulanya penyakit sosial itu?

Mengapa di bawah Khaifah Umar Abdul Aziz tiada orang mahu menerima zakat? Zakat adalah hak untuk asnafnya. Asnaf itu seolah-olah sifar di zamannya. Ia adalah disebabkan keadilan sempurna pentabirannya, bukan saja kemiskinan terhapus, bahkan menolak menjadi orang yang meminta. Keadilan yanag wujud menyebabkan pemerintahan dan rakyatnya mendapat barakah. Itulah yang menjadikan ia sifar penerima zakat dan peminta sedekah.

Saidina Umar Abdul Aziz memadamkan lampu kerajaan apabila anaknya mahu bercakap masalah peribadi dengannya. Beliau tidak menggunakan langsung kemudahan kerajaan.

Adakah kerajaan sudah mengkaji punca penyakit sosial itu dan kerajaan tidak langsung menyalah gunakan amanah yang diberi kepadanya? Adakah Raja-Raja, Perdana Menteri, menteri-menteri dan pegawai awam bebas dari menggunakan kedudukan masing-masing untuk diri?

Jika kerajaan belum jadi pihak yang paling minima kesilapannya, maka jangan jadi ayam jantan mengecam pengemisan.

Khutbah boleh mengingatkan supaya umat Islam waspada terhadap kejadian mengemis, tetapi orang Islam tidak boleh mengikis rasa mulia berderma dan bersedekah. Tanda syukur terhadap anugerah Allah ia menjadi bermurah hati kepada yang susah dan yang mememerlukan.

Saya takut semangat khutbah anti sedekah dan derma itu, umat Islam akan lupa mulianya menjadi tangan yang memberi. Bagaimana yang datang minta sedekah itu malaikat?

Orang Islam tdak boleh berhenti memberi kerana orang yang memerlukan itu sentiasa ada walau pun pengemis ada. Bukan tugas orang Islam bertanya pengemis itu jujur atau tidak. Tugas orang Islam yang berada adalah memberi.

Membasmi pengemis adalah tugas khalifah. Khalifah mesti mendidik rakyat jangan mengemis. Jika sesudah diberi pendidikan rakyat mengemis juga, khalifah kena tanya apa lagi kelemahannya dasar memerangi pengemisan itu tidak berjaya.

Kalau Umar Abdul Aziz berjaya, mengapa khalifah di Malaysia tidak berjaya?

Tiada ulasan: