"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Status Ku Li: Tunggu hari pencalonan, kata Nik Aziz

KOTA BHARU: Terlalu awal! Itu kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya kesediaan Pas berunding bagi memberi laluan kepada Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya ke-13 (PRU-13).

Mursyidul Am Pas mengakui Tengku Razaleigh, yang lebih mesra dengan panggilan “Ku Li”, banyak membantu Kerajaan Negeri dalam soal tuntutan royalti.

Namun beliau enggan mencampuri urusan pencalonan pemimpin veteran itu.

“Itu kena tanya Ku li. Tak boleh ganggu, tunggu hari pencalonan, baru dua tiga hari bagi kenyataan, macam nak buat rundingan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan masyarakat Orang Asli di kediaman rasminya di JKR 10 semalam.

Tengku Razaleigh sebelum ini dilihat sealiran dengan Kerajaan Pas Kelantan apabila menyokong tuntutan royalti Petroleum yang kini dibicarakan di mahkamah, dengan menyifatkan ia hak Kelantan berdasarkan undang-undang.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, beliau akan tetap bertanding di kawasan Parlimen Gua Musang sebagai calon Bebas jika Barisan Nasional (BN) tidak lagi mencalonkannya.

Tengku Razaleigh merupakan Ahli Parlimen paling lama berkhidmat iaitu selama 43 tahun mulai 1969.

Menyentuh mengenai pergolakan Pas Kedah, Nik Aziz berkata, adalah tidak wajar mencampuri urusan negeri itu kerana ia sudah diserahkan kepada Pas Pusat.

”Urusan Kedah untuk orang Kedah. Saya tidak mahu komen,” katanya.

Isu dalaman kerajaan Kedah memaksa Pas Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu yang akan bertanggungjawab memantau Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mentadbir negeri itu.

Tiada ulasan: