"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu memang seorang pemimpin yang hebat

Timmy Say

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, resume rakyatnya tidak perlu banyak perkataan untuk dihurai. Selain hebat, ialah mengkagumkan.

Di zaman mudanya, Abang Mat keluar masuk penjara memperjuangkan apa yang dipercayainya sebagai benar. Ramai orang takut pada ISA, tetapi tidak pada Abang Mat. PAS adalah wadah perjuangannya, dan tiada apa yang boleh menyebabkan Abang Mat keluar daripada PAS.

Nama Mat Sabu sudah sinonim dengan PAS. Abang Mat adalah simbol toleransi dan friendliness (mudah bersahabat) bagi PAS.Rakan-rakan bukan Islam cukup menyayanginya. Rakan-rakan seperjuangannya menghayati pengorbanan beliau.
“Cubalah kamu ikut saya seminggu. Tengoklah kamu boleh tahan tak?” begitulah cabaran Abang Mat pada saya selalu.

Memang sukar untuk mengikut jadual Abang Mat. Hanya manusia yang kental seperti beliau boleh menunaikan semua temujanji itu.

Namun, sehebat-hebat Abang Mat, beliau cumalah seorang manusia biasa yang ada kekurangannya.

Seperti para peminat artis pujaan, menyebut mengenai kekurangan Abang Mat akan menyinggung perasaan orang yang amat menyayanginya. Membandingkan Abang Mat dengan sesuatu yang lebih baik juga akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada para peminatnya, lebih-lebih lagi apabila Abang Mat adalah Timbalan Presiden PAS.

Namun, itu lumrah manusia kerana sememangnya ada perkara yang lebih disukai dan ada perkara yang tidak berapa disukai.
Semalam timbul kontroversi seperti yang tertera di atas apabila Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali dalam satu laporan The Malaysian Insider bertajuk “Timbalan presiden: Mat Sabu jangan kecil hati, kata ulama PAS” menyebut “Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama.”(gambar :Hubungan rapat antara Mat Sabu (kanan) dan Takiri terbukti dalam majlis malam tadi, 5 Oktober, 2013)

Jelas Khairudin mengakui Abang Mat sebagai seorang pemimpin yang hebat. Cuma – ya ayat selepas ‘Cuma’ selalu membawa maksud berbeza kepada para pembaca mengikut kesukaannya.

“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – ada yang membaca ayat ini berasa Khairudin kasar dan seolah-olah menghina Abang Mat. Persepsi itu diperkuatkan lagi apabila ada blogger yang mengulas perkara itu ke arah sedemikian.

Bagi yang sudah ada persepsi negatif terhadap Dewan Ulama selepas Multaqa lalu teramat mudah akan terdorong ke arah mempercayai bahawa Khairudin sedang memperkecilkan Abang Mat, walau beliau memulakan hujah ayat pertama dengan memuji Abang Mat sebagai pemimpin yang hebat. Tapi itu telah dilupakan, yang difokuskan ialah apa yang disebut selepas perkataan “cuma.”

Dalam aspek ini, Khairudin perlu lebih berhati-hati ketika berkata-kata dan menyedari persepsi negatif yang sedang menyelubungi Dewan Ulamak PAS Pusat akan menyebabkan kata-katanya terpesong daripada nada sebenar.

“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – daripada lensa biasa tanpa sebarang prasangka, ayat ini tiada unsur penghinaan pada Abang Mat. Jelas dalam ayat ini, Khairudin tak pasti, sebab itu perkataan “barangkali” digunakan.

Apa yang cuba disebut Khairudin ialah ada orang yang lebih fakih soal agama berbanding Abang Mat. Kenyataan itu sebenarnya tidak salah, malah sebenarnya hakikat, cuma cara disebut itu boleh disalah tafsir, terutamanya bagi mereka yang sudah ada prejudis terhadap Dewan Ulamak PAS Pusat.

Faqih adalah istilah merujuk kepada satu standard ilmu dalam pengajian Islam melibatkan kefahaman mendalam terhadap teks al-Quran dan teks al-Hadis berasaskan ilmu-ilmu alat seperti usul fiqh dan ilmu bahasa Arab yang tinggi sehingga mampu memahami hukum-hakam Islam secara detail.

Namun, ingin dipertegaskan bahawa tahap keilmuan "faqih" bukan diukur dengan sijil dan tempat pengajian dan juga bukan diukur oleh diri sendiri tetapi dinilai oleh orang-orang berilmu yang lain.

Seseorang yang dikatakan tidak faqih bukan bererti dia jahil dan tidak tahu hukum-hakam agama untuk amalan seharian. Cuma ada orang yang lebih baik daripadanya dari sudut itu.

Memandangkan Khairudin sendiri adalah seorang “Dr PhD”, maka ada pula yang menganggapnya terlalu ego apabila beliau berhujah bahawa Abang Mat barangkali yang kurang adalah fakih soal agama – seolah-olah kerana beliau ada PhD maka beliau boleh memperkecilkan pemimpin yang lain yang tidak setanding tinggi ilmunya apabila berkata “barangkali yang kurang adalah fakih soal agama.”

Tuduhan itu tersasar kerana Khairudin tidak berniat begitu, cuma beliau barangkali masih baru dalam dunia politik dan media persepsi ini untuk berkata-kata jujur dengan selamat.

Mari kita bersangka baik dan melihat hujah Khairudin dari sudut lain:

“Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Dalam soal fakih (mendalam) soal agama, barangkali ada orang yang lebih hebat daripada beliau.”

Sebenarnya itulah maksud sebenar Khairudin. Bacalah dari arah manapun, unsur menghina langsung tiada - maka salah faham terhadap Khairudin juga tidak akan timbul daripada para peminat Abang Mat.

Lebih-lebih lagi, dengan peribadi Abang Mat yang hebat dan besar hati orangnya, sebenarnya tiada kontroversi dalam kata-kata Khairudin.

Tulisan ini ditulis supaya PAS dapat menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau dengan satu hati dan satu jiwa. Jangan biar polemik dalaman melemahkan PAS.

PRK Sungai Limau ialah maruah PAS Kedah dan juga maruah arwah Tan Sri Ustaz Azizan Razak. Oleh itu, PAS tidak harus dilemahkan lagi kerana sangka buruk dan buruk sangka yang tidak diperlukan masa ini.

Seperti kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, kurangkanlah kenyataan mengenai pemilihan di muktamar, fokuslah pada PRK Sungai Limau. Walaupun tulisan beliau semalam ditujukan kepada semua pimpinan tertinggi, tapi para penyokong parti harus juga berhenti daripada mengulasnya sehingga kemenangan PRK Sungai Limau dipertahankan.

Selepas itu, ada 20 hari untuk berkempen sebelum Muktamar. Kempen sehabis-habisnya dalam lingkungan adab dan akhlak jamaah yang tinggi dengan hanya mempromosikan kebaikan dan kehebatan pemimpin pilihan sendiri dan bukannya dengan memperkecilkan lawan.

Itu adalah roh Islam yang wajar ditunjukkan PAS kepada rakyat Malaysia

1 ulasan:

sizzly7761 berkata...

Kurangkan kenyataan tentang pemilihan muktamar.......bagus nasihat Ustaz Tuan Ibrahim. Tetapi yang selalu buat spoil bagi kenyataan bola tanggung pada musuh ialah puak ustaz jugak khususnya ketua dewan ulamak dan anak-anak weknya! Sendiri mau ingat la!