"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ajaklah isterimu gaduh selalu!

MUHAMAD MAT YAKIM 
KALAULAH saya suami yang tidak pernah marah, menegur, merungut, atau mengeluh, saya percaya dalam beberapa bulan sahaja, isteri pasti akan berasa menyampah habis setiap kali melihat muka saya.

Lebih teruk, saya mungkin dianggap suami dayus ataupun bodoh walaupun 'saya tidaklah bodoh sangat!'

Rumah tangga kami sudah pasti teramat membosankan. Itulah yang saya percaya dan saya percaya, itulah juga yang dipercayai ramai orang!

Walaupun ketika berkonflik, semua orang akan mempersoal malah menyesal kerana menganggap pasangannya adalah yang paling teruk di dunia, namun percayalah, dia pasti akan lebih menyesal jika mendapati pasangannya itu adalah manusia yang hanya tahu senyum dan mengangguk sepanjang masa!

Saya teringat untuk menulis hal ini semalam apabila isteri minta tengok laporan akhbar mengenai satu kajian bahawa suami isteri perlu bergaduh sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Menurut laporan itu, tinjauan Lembaga Penyelidikan Pemasaran India (IMRB) mendapati pasangan yang bertengkar sekali dalam seminggu dianggap masih boleh berkomunikasi secara terbuka dan tidak hanya mendiamkan diri ketika marah.

Ini menunjukkan pertengkaran membantu merapatkan hubungan suami isteri dan memulihkan salah faham. Justeru, ia amat penting dalam rumah tangga.

Daripada pengalaman, kenyataan itu memang tidak ragu-ragu untuk saya akui.

Pertengkaran selagi masih dalam lingkaran kasih sayang dan pertanggungjawaban, bagi saya adalah suatu ekspresi kesungguhan. Syaratnya, jangan sampai ada maki hamun atau sepak terajang yang boleh membuat pasangan trauma atau berasa terhina!

Kadang kala pertengkaran juga membuat kita lebih memahami pasangan.

Hayati bait lirik lagu Tan Sri P Ramlee:

Sedangkan lidah lagi tergigit
apa pula suami isteri
buang yang keruh, ambil yang jernih
barulah teguh peribadi ...

Ya, lama dulu kita sudah disedarkan bahawa konflik suami isteri ada hikmahnya untuk lebih bahagia. Ini untuk kita insaf i bahawa kita tidak boleh hidup dalam hanya satu atau dua warna.

Dalam buku Aduhai Isteri halaman 53-56, saya menulis bahawa ketika berkonflik, suami isteri harus sentiasa sedar dan ingat mengenai hakikat cinta dan kasih sayang sesama mereka selain menanam teguh dalam hati bahawa konflik bukan semata-mata mahu cari pasal untukbergaduh dan pasangan pula bukan musuh.

Akhirnya kita akan mendapati bahawa pertengkaran dalam hubungan suami isteri sebenarnya adalah sangat indah, pergaduhan boleh bawa hikmah. Syaratnya seperti yang saya nyatakan tadi, jangan ada maki hamun atau sepak terajang apa lagi menyebut sesuatu yang tidak seharusnya - berpisah!

Mengapa saya kata hal yang bagi sesetengah orang adalah sangat tidak elok itu sebagai hikmah, atau sesuatu yang indah?

Bayangkan sahaja begini, setelah puas bertengkar, melepas habis apa yang terbuku di hati, kita lazimnya akan sedar, insaf bahawa orang yang kita sudah kata macam-macam itu sebenarnya adalah insan yang paling kita sayang, orang yang selama ini menjaga kita, orang yang selama ini jadi teman kita di kala susah dan senang, orang yang sudah terlalu banyak jasanya kepada kita, berkorban untuk kita dan bagi suami, insan itulah juga yang bersabung nyawa melahirkan zuriat kita!

Apakah dalam keinsafan yang seperti itu masih tega lagi dalam hatimu wahai kawan untuk terus membencinya?

Sudah pasti tidak melainkan jika kamu benar-benar berhati syaitan!

Justeru, ketika itulah saya percaya bahawa hati kita yang sebenarnya sudah siap ditanam dengan kasih sayang yang sejati akan diselubungi sepenuhnya oleh kekesalan yang amat sangat.

Ada baiknya dalam keadaan seperti itu, biarlah sama-sama menangis, mengulang sebut pengakuan bersalah, memuji-muji pasangan sebagai manifestasi penyesalan.

Dan percayalah juga bahawa dalam keadaan itu, hati manusia mana sekalipun pasti akan sanggup untuk membuat penyerahan diri yang total kepada pasangannya, zahir dan batin dengan sepenuh kasih sayang.

Sebagai suami isteri ataupun insan yang sudah dewasa, kita masing-masing tentunya amat memahami apa yang seharusnya berlaku selepas itu. Sebab itulah juga saya 'menegur' isteri saya apabila dia 'tagged' laporan akhbar itu dalam 'wall' Facebook saya dengan kata-kata "jom gaduh..."

Ya, saya segan walaupun dia semata-mata ajak saya bergaduh dan saya sendiri pun sememangnya suka bergaduh!

1 ulasan:

maw berkata...

pergaduhan membawa seribu hikmah,membawa bebasnya perasaan yang tidak tertanggong dandikendomg oleh akal dan hati yang masih bersujud keillahi.tatkala tersakitnya hati terbukunya hati yang parah hanya terucap kata hati.."demi anak anakku tersayang,demi kelangsungan kehidupan anak anakku aku mengalah,aku berserah,aku menelan segala galanya kedalam perutku jua.air mataku dibendong oleh kelopak mata supaya tidak mengalir dilihat oleh sesiapa.adakah pergaduhan itu suatu yang membawa keindahan jawabya ia atau tidak,terserah kepada bergu itu sendiri.bagiku pergaduhan adalah tinta yang boleh menghijau atau membuat sebuah ladang rumput itu gersang.bagiku biarlah aku diperkosa dengan habuan kata kata kemarahan yang tidak punyai pangkal serta penghujongnya,pertahananku adalah demi kehijauan anak anakku jua.