"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bolehkah Kita Tersenyum Lagi?

SHAHBUDIN HUSIN
Semalam Najib menyatakan bahawa mereka yang mengelak daripada membayar cukai adalah dianggap telah melakukan pengkhianatan kepada negara. Ini kerana, menurut tafsiran Perdana Menteri, membayar cukai adalah sebahagian daripada ciri semangat patriotisme kepada negara.

Dalam bahasa yang mudah ialah mereka yang tidak membayar cukai tidak ada semangat patriotisme dan adalah pengkhianat negara.

Hujah Perdana Menteri ini lantas menimbulkan perdebatan banyak pihak, tetapi lebih ramai yang tidak bersetuju berbanding menyetujui cakap Najib itu. Bahkan, ramai menyerang balas Najib dengan menyatakan bersikap boros dan membelanjakan wang pembayar cukai secara sesuka hati juga merupakan pengkhianatan kepada negara.

Ada pula yang berkata, gelaran pengkhianat kepada yang tidak membayar cukai itu sebagai keterlaluan dan agak melampau. Tidak wajar seorang Perdana Menteri mengucapkan perkataan demikian. Ia sama seperti tidak wajarnya Najib mengucapkan perkataan "haram jadah" kepada peneroka Felda suatu ketika dahulu.

Hari ini pula, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan memberitahu Parlimen bahawa hutang negara sehingga Oktober 2013 adalah berjumlah RM529.6 bilion atau 53.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK. Had hutang yang dibenarkan ialah 55 peratus daripada KDNK.

Tetapi Ahmad Maslan juga memberitahu, keadaan sebenarnya masih lagi terkawal.

Sudah tentu ramai yang tidak bersetuju dengan Ahmad Maslan kerana setelah hampir tergelincir ke dalam lubang yang dalam pun, beliau masih lagi berkata, hutang negara dalam keadaan terkawal.

Dengan hutang yang kian meningkat ini, ramai yang berkata, "patutlah Najib begitu terdesak mahu rakyat membayar cukai sehingga melabelkan pengkhianat kepada yang cuba mengelaknya."

Semuanya saling kait-mengait sebenarnya. Jika usaha menakutkan rakyat supaya membayar cukai ini berjaya, maka bertambahlah pendapatan negara untuk tahun depan. Mungkin itu sebabnya Ahmad Maslan kata hutang negara masih boleh dikawal.

Namun demikian kebimbangan tentang hutang di zaman Najib memang ada asasnya. Rakyat wajar berasa bimbang dengan hutang yang sudah mencecah 53.6 peratus daripada KDNK sedangkan had yang dibenarkan cuma 55 peratus. Bagaimana pula kedudukan hutang negara pada tahun depan atau lima tahun akan datang?

Apa jadi jika hutang negara nanti melebihi had yang dibenarkan itu? Adakah negara akan bankrap? Adakah kita akan menuruti jejak negara Greece yang terbeban dengan kemelut hutang yang berpanjangan?

Bagaimana pula nasib rakyat? Bagaimana dengan kos hidup dan peluang pekerjaan? Sudah tentu deretan persoalan panjang akan bermain di fikiran setiap rakyat, ditambah dengan keceluparan Najib menggelarkan pengkhianat, resah dan bimbang juga turut bertambah jadinya.

Ketika Najib mengambil alih teraju pemerintahan negara pada 2009, hutang negara cuma RM362.4 bilion. Hanya dalam tempoh hampir lima tahun, hutang negara sudah mencanak hampir sekali ganda kepada RM529.6 biliion. Lagi banyak transformasi, lagi banyak hutang rupanya.

Dalam tempoh lima tahun juga, bayaran kepada konsultan saja berjumlah RM7.2 biliion. Bil letrik Seri Perdana pula berjumlah RM2.2 juta walaupun Najib mendakwa beliau hanya menumpang tinggal di kediaman milik rakyat itu. Apakah itu cara menumpang namanya?

Jika dikira kos lawatan Najib ke luar negara antara 2008 hingga 2013 yang berjumlah RM44 juta, kos jamuan rumah terbuka Aidil Fitri hampir RM3 juta serta lain-lain dan isterinya juga turut menggunakan wang pembayar cukai untuk perjalanan ke luar negara, jumlahnya tentulah lebih besar lagi.

Dalam tempoh setahun atau lima tahun akan datang, belum ternampak tanda-tanda Najib mahu berjimat cermat dalam perbelanjaannya. Begitu juga isterinya, selepas menyatakan beliau langsung tidak terganggu dengan pelbagai kritikan terhadapnya, jadual Rosmah ke luar negara dan tempahan jet eksekutif juga barangkali sudah siap menanti dengan lebih banyak lagi.

Dengan semua keadaan ini, rakyat sudah tidak mampu tersenyum lagi sebenarnya dalam memikirkan nasib masa depan negara ini. Kalau pun ada yang masih tersenyum, hanyalah senyum pahit dan terpaksa saja. (SH 25/11/2013)

1 ulasan:

sizzly7761 berkata...

Menteri dan pemimpin negara yang mengamalkan RASUAH dalam skala besar dan dalam bentuk 'komisyen'@ bayaran 'perunding' @ dan lain2 istilah lah yang sebenarnya menjadi PENGKHIANAT kepada negara Malaysia. Amalan rasuah anda telah menyebabkan rakyat terpaksa membayar kos/harga projek yang sengaja dimahalkan untuk memboleh rasuah diberikan........sendiri jadi Pengkhianat ada hati nak tuduh rakyat sebagai Pengkhianat! Haprak punya pemimpin! Semoga pemimpin yang korup ni dihilangkan kuasa/Jawatan dalam KEHINAAN oleh Allah kerana terlalu banyak menyusahkan hidup rakyat dan banyak menipu serta membodohkan rakyat! Tunggulah balasan Allah!