"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masyarakat bukan Islam semakin selesa bersama PAS

DR ANN WAN SENG
SOKONGAN yang ditunjukkan oleh masyarakat non muslim dan bukan Melayu kepada parti PAS didapati semakin meningkat. Ini dapat diperhatikan dalam dua PRU yang lalu yang menyaksikan peningkatan daripada segi undi dan kerusi yang diperolehi oleh PAS.
Peningkatan sokongan dan undi itu sebenarnya tidak disebabkan oleh tsunami politik yang berlaku pada landskap politik Malaysia. Tetapi mempunyai hubungan yang rapat dengan usaha dan langkah yang diambil oleh PAS untuk mendekati golongan tersebut.

Ternyata usaha yang diambil oleh PAS itu telah membuahkan hasil. Kalau sebelum ini, PAS hanya bertapak di kawasan luar bandar dengan menjadikan kampung dan desa sebagai pusat tumpuan. Kini, PAS telah membina dan mempunyai asas yang kukuh di kawasan perbandaran dan tempat yang mempunyai majoriti bukan Islam.

Kehadiran PAS bukan sahaja diterima baik oleh masyarakat non muslim malahan menjadi sandaran kepada mereka untuk memperjuangkan pelbagai isu sama ada yang berbentuk lokal ataupun nasional.

Perubahan sikap dan pandangan masyarakat non muslim terhadap PAS begitu ketara sekali. Jika dahulu, mereka cukup takut dengan PAS tetapi kini sudah ada dalam kalangan non muslim dan orang bukan Melayu yang membawa bendera PAS serta melekatkan simbol PAS pada kenderaan.

Terdapat juga non muslim merasa bangga kalau dapat diasosiasikan dengan PAS sama ada secara langsung atau tidak.

Tidak kurang juga memohon untuk menyertai PAS dan tidak merasa silu untuk menaiki pentas politik PAS.

Masyarakat non muslim tidak lagi menyokong PAS secara sembunyi dan mereka tidak lagi merahsiakan sokongan mereka.

Masyarakat non muslim tidak lagi menjadi penonton dan pemerhati tetapi peserta dan penyumbang yang aktif untuk membantu perjuangan PAS.

Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) merupakan bukti yang paling nyata dan testimoni yang jelas berhubung sikap serta pendirian masyarakat non muslim terhadap PAS.

Manakala kerjasama yang terjalin di antara PAS dengan DAP dan KeADILan dalam Pakatan Rakyat menguatkan keyakinan masyarakat non muslim terhadap PAS untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

Perubahan sikap dan peralihan sokongan masyarakat non muslim kepada PAS tidak berlaku secara mendadak serta tidak terjadi dengan sendirinya.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan itu.

Salah satunya ialah keterbukaan PAS untuk menerima realiti politik dan masyarakat di negara ini yang menuntut parti itu untuk bekerjasama serta mewujudkan persefahaman dengan masyarakat non muslim.

PAS akhirnya menerima hakikat bahawa perjuangan mereka tidak seharusnya terbatas kepada orang Melayu dan masyarakat Islam sematamata.

Sebagai sebuah parti yang bertaraf nasional, PAS perlu memperluaskan dimensi perjuangan kepada seluruh penduduk negara ini tidak mengira keturunan, agama, bahasa, kedudukan sosial dan latar belakang geografi.

Sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya, PAS mempunyai kelebihan untuk bergerak dalam lingkungan politik dan sosial yang lebih besar kerana tidak diikatkan dengan fahaman kebangsaan dan perjuangan kaum yang sempit.

PAS telah berjaya melakukan penjenamaan semula terhadap imejnya sebagai sebuah parti Islam tanpa mengorbankan asas dan matlamat perjuangannya.

Pendekatan fleksi, toleransi dan kompromi dalam mendekati masyarakat berbilang kaum telah berjaya mengubah persepsi negatif non muslim terhadap PAS.

Usaha yang berterusan yang dilakukan oleh PAS untuk mendekati dan memberikan penerangan serta penjelasan terhadap dasar perjuangan dan pelbagai isu telah memberikan keyakinan kepada masyarakat non muslim terhadap perjuangannya.

Walaupun berbagai-bagai usaha dilakukan untuk memburuk-burukkan PAS dengan menakut-nakutkan masyarakat non muslim dengan isu hudud, negara Islam dan imej ulama tetapi tindakan itu akhirnya kembali memakan tuannya.

Masyarakat non muslim mempunyai keyakinan dan menaruh harapan yang tinggi kepada PAS kerana komitmen serta konsistensi parti itu dalam perjuangan politiknya.

Dengan kata lain, masyarakat non muslim kian selesa dengan PAS berbanding dengan parti-parti kaum mereka sendiri. Bahkan mereka lebih mempercayai PAS daripada parti-parti perkauman yang lain yang lebih banyak bermain dengan retorik daripada bersikap realistik.

PAS sejak lebih tiga dekad yang lalu telah menunjukkan kesungguhan dan keseriusan untuk mendekati, mendampingi serta menyelami nurani masyarakat non muslim dengan mengadakan program yang berterusan untuk memahami, menghayati dan memenuhi kehendak mereka.

Proses itu perlu dilakukan secara berterusan. Kesediaan PAS untuk mendengar, menerima dan membantu masuarakat non muslim telah meninggalkan impak yang cukup kuat kepada mereka.

Pemerintahan PAS di Kelantan memberikan kesan yang amat kuat kepada perubahan sikap dan tendensi sokongan masyarakat non muslim kepada PAS.

Kesederhanaan yang ditonjolkan oleh para pemimpin PAS menjadi daya pemikat yang menarik masyarakat non muslim kepada PAS. Selain daripada penampilan peribadi dan personaliti yang memenuhi kualiti yang mereka kehendaki.

PAS dilihat lebih jujur, ikhlas dan bersih berbanding para pemimpin BN yang terpalit dengan berbagai-bagai skandal yang menjengkelkan rakyat.

Jurang yang selama ini memisahkan PAS dengan masyarakat non muslim telah berjaya dirapatkan. Manakala tembok penghalang antara PAS dan masyarakat non muslim juga telah dipecahkan.

Sementara garis sempadan antara Islam dan non muslim semakin lenyap ditelankan oleh hubungan yang kian intim dan akrab antara kedua-dua pihak.

PAS perlu menggunakan ruang dan peluang ini dengan sebaikbaiknya.

PAS perlu merasa selesa dengan masyarakat non muslim dengan menjadikan mereka sebagai rakan kepada perjuangannya. Patnership itu dapat direalisasikan dengan mencari titik-titik yang dapat mempertemukan kedua-dua belah pihak dengan menjadikan Islam sebagai sandaran utamanya.

Islam tidak pernah menjadi masalah. Yang penting ialah bagaimana untuk melaksana dan menjelmakan Islam dalam bentuk yang nyata dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang keturunan dan agama.

PAS telah merealisasikannya di Kelantan dan tidak ada sebab kenapa PAS tidak boleh melakukannya di peringkat yang lebih besar lagi. Masyarakat non muslim hanya menanti dan PAS tidak seharusnya berhenti setakat ini.

» Penulis ialah Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Tiada ulasan: