"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Tentera Merah’ dan musibah bak kembar seiras

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Dada langit masih suram dengan hujan merembes perlahan memukul atap rumah warga kemaman, Dungun serta daerah lain yang masih diserbu tengkujuh. Banjir yang melanda kali ini telah memunggah puluhan ribu rakyat ke pusat pemindahan banjir. Bak garuda melanggar jajahan, rumah kediaman seperti diterjah tsunami dengan kemusnahan tak terperi, suara tangisan anak-anak yang ketakutan dan kelaparan bertingkah-tingkah merebut ruang di tempat pemindahan banjir. Langit seperti menumpahkan murkanya pada manusia yang tak henti menuai dosa dan meracik kebejatan noda.

Banjir besar ini seperti ingin mengingatkan kita tentang keberadaan Tuhan yang sering sirna daripada ingatan manusia. Korupsi, mengabaikan solat, melecehkan syariat, penzinaan, penyelewengan seolah-olah sudah tidak mampu dielakkan insan. Banjir menampar manusia yang leka dan menunjal sisi terang akal kita juga bahawa Tuhan hanya menjentik ingatan kita supaya segera bermuhasabah.

Saya menyemak kisah duka banjir kali ini di medan operasi dan juga fenomena media baru yang turut menambah perisa kepada tragedi banjir kemaman, Kuantan serta daerah lain. Nama Unit Amal atau pernah menggalang jolokan Tentera Merah kelihatan begitu hampir dengan relung hati mangsa banjir. Tentera Merah juga pernah mencuit hati mangsa banjir di Johor pada tahun 2007. Membuka ruang fikir masyarakat Johor bahawa gerakan Islam bukanlah jamaah takfir yang membina tembok kaca dengan masyarakat seperti yang cuba digambarkan oleh media perdana.

Rakyat Johor kelihatan kecewa dengan agensi kerajaan yang kelihatan agak lemah menjangkakan banjir besar yang akan menimpa Johor, bumi ditanam uri Umno pada tahun 1946. Sebab itu tidak mudah merombak keyakinan masyarakat Johor kepada parti pragmatis sekular itu sejak puluhan tahun. Tentera Merah yang datang dari seluruh negara mengucur keringat, membersihkan kediaman, memasak makanan, menyelamatkan mangsa banjir serta menenangkan mangsa.

Pasca banjir di Wilayah Johor pada tahun 2007 itu akhirnya membuka ruang untuk masyarakat Johor membuang stigma mereka kepada PAS. Rasa skeptikal terhadap bendera bulan berjaya dirobohkan malah dibuktikan negeri sarat adab Melayu itu menyaksikan lonjakan undi PAS sebanyak 200 peratus di antara 2004 sehingga PRU ke-12 pada tahun 2008.

Saya konsisten selama ini bahawa gerakan kebajikan adalah pakej lengkap kepada gerakan Islam sebagai mana lantunan pada cerminan dakwah di zaman Ar Rasul S.A.W dan juga generasi Al-Quran.

Tentera Merah atau Unit Amal wajar diberikan pujian kerana para amilin yang bergabung di dalamnya dicetak khusus untuk berhadapan dengan situasi cemas serta mempunyai tahap disiplin lima bintang. Tiada sebuah pun gerakan relawan yang mampu menyaingi reputasi Unit Amal kecuali di luar negara seperti Al-Khidmat di bawah naungan Jamiat Islami di sub kontinen.

Anggota Amal dengan pelbagai jalur latar belakang, ada antara mereka graduan kejuruteraan, perubatan, sains sosial, pengajian Islam sehinggalah mereka yang mempunyai tahap asas seperti lulusan SRP. Kepelbagaian inilah yang telah melahirkan kekuatan dan jati diri mereka yang tersendiri. Masyarakat yang awal benci kepada gerakan Islam akibat kurang maklumat, akhirnya terpanar melihat anak-anak muda berbaju merah mendirikan solat berjemaah walaupun guratan wajah mereka penat akibat kurang rehat.

Wira tak didendang ini bersilih ganti datang ke tempat lokasi bencana tanpa sebarang upah atau tanda jasa. Keikhlasan mereka inilah akhirnya membuahkan amal yang paling manis sehingga PAS tersimbah dengan pujian masyarakat kerana mempunyai anak-anak muda yang pandai menyantuni massa.

Tentera merah dengan berbaju lencun keringat itu juga tak pernah lelah membantu manusia tanpa mengira status sosial. Teringat saya, ungkapan Ustaz Idris Ahmad semasa beliau menggalang jawatan Timbalan Ketua DPPPM, "jika bahtera jamaah ini berbondong masuk ke syurga, maka anggota amal adalah kelompok pertama ke syurga. Mereka tak disibukkan dengan mencari nama, tak bercadang untuk menjadi calon pilihan raya, tak bercadang untuk menjadi AJK penting, disuruh bangun mereka bangun, disuruh duduk mereka duduk, tiada orang mampu seikhlas anggota amal".

Kuantan dan Kemaman akan menjadi saksi kehebatan khidmat Tentera Merah ini mengucur keringat. Saya di birai jendela rumah dengan hujan bak dentingan halpa yang mengasyikkan, tiba-tiba terbayang sosok Tuan Guru Abdul Hadi dan Datuk Tuan Ibrahim sedang melambai tangan pada rakyat yang menangis sesenggukan gembira. Tokoh ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu dan juga Pahang selepas PR menang besar di negeri Pantai Timur itu dalam PRU ke-14. Insya Allah, fajar kemenangan akan menyinsing dan saatnya begitu hampir.

Jutaan penghargaan buat tentera Merah Amal yang telah memecahkan tembok kaca gerakan Islam dan juga masyarakat negara ini. Beramal kerana Allah adalah pelaksanaan kata-kata yang tak sekadar tercetak di aksara kertas. Maju terus ke medan operasi wahai para amilin kerana kemenangan itu sangat hampir di tanah air kita ini.

Tiada ulasan: