"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DrMaZa: Baju tulisan ayat suci al-Quran, jangan mudah menghukum

Menggunakan ayat al-Quran untuk hiasan pakaian memang boleh membawa kepada ayat-ayat suci itu diperlekehkan. Ia satu kesalahan. Namun bukan semua orang tahu ataupun perasan kesan penggunaan tersebut.
Mereka yang tersalah menggunakan ayat-ayat al-Quran itu MUNGKIN tidak bermaksud menghina tapi tidak tahu adab-adab yang sewajarnya.

Jangan tergopoh menganggap mereka itu musuh Islam ataupun ingin menghina Islam. Apatahlagi jika dia seorang yang bukan muslim yang tiada maklumat banyak mengenai Islam.

Justeru, sebelum kita menghukum mereka ini, kita hendaklah tahu latar tindakan mereka. Berbicara dengan matang sebelum bertindak kasar untuk menghukum.

Dalam hadis yang sahih ada seorang badawi yang kencing dalam masjid Nabi s.a.w. Para sahabat bangun untuk bertindak ke atas badawi tersebut. Nabi s.a.w melarang mereka mengasarinya sambil bersabda: "Kamu diutuskan untuk memudahkan bukan menyusahkan". Nabi s.a.w menyuruh disimbah air di tempat kencing tersebut. Baginda kemudiannya memanggil badawi itu dan menerangkan kepadanya tujuan masjid dibina. Ini menyebabkan badawi mendoakan kepada baginda agar dirahmati.

Dalam hidup ini kita hendaklah membezakan antara tindakan seseorang yang bertitik tolak dari permusuhan dengan tindakan seseorang yang disebabkan kesilapan ataupun salah faham.

Facebook DrMaZa 

Tiada ulasan: