"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB Selangor: Azmin Ali ‘Hilangkan Diri’ Dari Media?

azmin ali MB Selangor
Shah Alam: TImbalan Presiden PKR, Azmin Ali sehingga kini masih membisu berhubung desas-desus yang mengatakan beliau bakal dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu sebelum ini yang dilihat ‘mesra media’ dilihat ‘menghilangkan diri’ walaupun SuaraTV telah cuba menghubungi beliau berkali-kali bagi mendapatkan maklumbalas berhubung perkara tersebut.

Menurut sumber SuaraTV sebelum ini Azmin dikatakan bakal mengangkat sumpah sebagai menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah hilang sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Malah Bernama, dalam laporannya mengenai majlis angkat sumpah jawatan menteri besar baru Selasa depan, juga menyebut Azmin mungkin pilihan istana tetapi setiausaha sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani enggan mengesahkan perkara itu.

Walaupun tidak mahu membuat spekulasi mengenai siapa yang akan bakal dilantik menerajui negeri ini, seorang pemerhati politik veteran yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan pihak istana, bersetuju bahawa Azmin mungkin calon terbaik untuk tugas tersebut.

“Satu perkara yang pasti, Wan Azizah tidak akan menjadi menteri Besar itu,” katanya.

Istana Selangor sebelum ini mengesahkan Majlis Angkat Sumpah akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang dekat sini.

Kenyataan daripada Istana Selangor itu bakal menandakan berakhirnya krisis berpanjangan jawatan Menteri Besar Selangor.

Beberapa blog sebelum ini mendakwa Timbalan Pesuruhjaya (1) PAS Selangor, Sallehen Mokhyi antara calon yang disebut-sebut bakal dilantik menjawat jawatan tersebut.

Namun beliau yang dikerumuni wartawan sebaik sahaja selesai berucap membahaskan ucapan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar PAS ke-60 di Parit Raja, hari ini menafikan perkara tersebut.

“Bukan, bukan (saya). Kita tidak tahu lagi (nama Menteri Besar Selangor yang baharu). Saya tidak ada maklumat lagi. Isnin pagi atau Selasa akan dimaklumkan. Yang pasti bukan saya,” katanya.

Sallehen juga berkata pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu diharap menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi kemelut jawatan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kita berharap ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik, sebab kita tiada forum atau ruang yang terbaik kecuali rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat terima pilihan Istana (Selangor),” katanya.

Selain beliau, turut dinamakan sebagai calon pilihan PAS untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar ialah Dr Ahmad Yunus Hairi dan Iskandar Abdul Samad, kedua-duanya exco negeri.

Iskandar juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah supaya parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.

PKR dan DAP bagaimanapun kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar yang baharu.

Tindakan kedua-dua parti berkenaan menyebabkan Sultan Selangor amat dukacita.

Susulan kemurkaan baginda itu, PKR dan DAP baru-baru ini menyerahkan sepucuk surat kepada Istana Selangor.

Selain menghantar surat kedua yang tidak diketahui kandungannya itu, pada hari yang sama kedua-dua parti tersebut mengeluarkan kenyataan memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor.

Walaupun memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap mempertahankan tindakan kedua-dua parti itu berhubung calon mereka bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Krisis politik Selangor tercetus selepas ‘Langkah Kajang’ yang dimulakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac lepas yang bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut selepas gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang apabila mahkamah mendapati beliau bersalah atas pertuduhan liwatnya, lalu isterinya yang juga Presiden PKR bertanding dan memenangi kerusi DUN itu.

Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan merancang untuk mengangkat Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Sumber Link

Tiada ulasan: