"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin digesa dedahkan VVIP guna helikopter nafikan hak pesakit kritikal

Tindakan pihak keselamatan mengutamakan VVIP mengunakan pengangkutan udara berbanding pesakit kritikal jelas menyalahi SOP
KUALA LUMPUR: DAP hari ini menggesa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan VVIP yang didakwa menggunakan helikopter sehingga mengenepikan keperluan dua ibu yang sarat mengandung dan memerlukan rawatan segera.

Penasihat DAP Lim Kit Siang merujuk laporan berkaitan misi pemindahan medevac (medical evacuation) dua ibu mengandung yang mengalami komplikasi serius ketika hendak bersalin, tertangguh hampir dua jam Ahad lalu di Klinik Kesihatan Badang, di Kota Bharu, Kelantan, berikutan arahan seorang individu VVIP yang mahu melawat kawasan banjir.

“Adakah ini bertepatan dengan standard operating procedure (SOP) pengurusan bencana, bahawa lawatan VVIP diberi keutamaan berbanding keadaan kritikal seseorang pesakit?” soal Kit Siang.

Katanya, difahamkan, Dr Afiq Rahim yang bertugas di klinik kesihatan Badang menceritakan kejadian tersebut di laman facebooknya yang kini menjadi profil paling popular di rangkaian sosial mengenai dugaan yang dihadapi petugas perubatan dan penjawat awam dalam situasi sukar ketika bencana.

Menurut laporan tersebut, Afiq menyatakan bahawa pesakit pertama, seorang ibu sarat mahu bersalin tiba di Klinik Kesihatan Badang pada hari Ahad jam 3.30 pagi.

Kemudian, pada jam 6 pagi doktor memutuskan beliau memerlukan penjagaan tertiari serta perlu dipindahkan.

Namun helikopter yang dipanggil hanya tiba pada jam 8 pagi, dua jam lewat kerana helikopter tersebut ‘ditahan’ kerana ada VVIP yang mahu melawat kawasan yang dilanda banjir.

Manakala pesakit kedua yang juga sarat mengandung, tiba selepas jam 8 pagi dan berdepan masalah sama sehinggakan kehilangan banyak darah, menyebabkan pesakit kerap tidak sedarkan diri.

Sementara itu, menurut Afiq, dua nyawa mungkin sahaja hilang semalam akibat sikap acuh tak acuh pihak berkuasa.

“Amat mengecewakan dan menghampakan bagi kami yang cuba memastikan keselamatan dan kesihatan mangsa,” tulis Afiq di laman Facebook beliau.

Sehubungan itu Kit Siang menjelaskan, Afiq berhak untuk berang dengan penangguhan terbabit kerana pihak berkuasa telah mengutamakan lawatan rasmi berbanding pesakit yang berada dalam keadaan kritikal.

“ Afiq sewajarnya menjadi contoh ikutan semua rakyat Malaysia, termasuklah di kalangan anggota Kabinet, bagaimana sikap yang patut diambil oleh rakyat Malaysia ketika berhadapan bencana; iaitu mengutamakan nyawa orang lain berbanding diri sendiri.

“Kes-kes sebegini patut disiasat oleh RCI supaya ia tidak berulang lagi, di mana VVIP meletakkan nyawa rakyat biasa dalam bahaya hanya kerana mereka mahu melawat kawasan yang dilanda banjir,” tegasnya.
-freemalaysiatoday-

Tiada ulasan: