"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jaga-jaga! ‘Penculik’ komputer sedang bermaharajalela

Cindi Loo
Pengguna-penggun komputer, berhati-hatilah! Teknologi telah berkembang dengan begitu pantas sehingga anda kini boleh diugut oleh malware yang "menculik" komputer anda, dan menyekat akses kepada fail-fail anda yang mungkin mengandungi maklumat sensitif atau penting. Akses anda akan dikembalikan selepas anda telah membayar "penculiknya".
Perisian mengancam ini, yang juga dikenali sebagai "ransomware", kelihatan seperti bentuk mesej ‘pop up’ yang mensasarkan pengguna komputer, dengan mendakwa bahawa ia telah mengunci sistem komputer dan mengenkripsi semua fail, melainkan jika pengguna membayar suatu jumlah untuk mendapatkan semula akses.

Walau bagaimanapun menurut CyberSecurity Malaysia, kebanyakan masanya komputer ini masih dijangkiti malware itu, dan penggunanya kehilangan wang mereka.

"Pencipta ransomware membuatkan mangsa mereka ketakutan dan panik, menyebabkan mereka klik sebuah pautan atau membayar wang tebusan, dan kemudiannya dijangkiti dengan lebih banyak malware.

“Ransomware tidak hanya mensasarkan pengguna rumah, perniagaan-perniagaan juga boleh terjangkit, yang boleh membawa kesan negatif, termasuk kehilangan maklumat sensitif atau proprietari secara sementara atau kekal, gangguan kepada operasi perniagaan, kerugian kewangan yang ditanggung bagi memulihkan sistem dan fail, dan ancaman terhadap reputasi sesebuah organisasi," kata ketua pegawai eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab dalam sebuah kenyataan akhbar.

Mesej-mesej pop-up pada skrin komputer boleh memaparkan kandungan seperti "komputer anda telah digunakan untuk melawat laman-laman web dengan kandungan yang tidak dibenarkan. Untuk membuka kunci komputer anda, anda perlu membayar denda $100" atau "Semua fail pada komputer anda telah dienkripsi. Anda mesti membayar wang tebusan ini dalam masa 72 jam, untuk mendapatkan semula akses kepada data anda.”

Ransomware boleh menyamar sebagai e-mel yang tidak disyaki pengguna komputer, mendorong mereka untuk klik pada pautan yang disediakan.

CyberSecurity Malaysia menyatakan bahawa kerosakan itu boleh dikurangkan jika pengguna tidak mengikut arahan yang disediakan, dan menghubungi agensi itu dan membuat laporan melalui pusat bantuan Cyber999.

Disyorkan juga supaya pengguna-pengguna komputer sering menyalin fail-fail penting mereka dan mengemaskini perisian antivirus, untuk mengelakkan ransomware ini.

Ransomware ini yang dipercayai telah muncul pada tahun 1989, akan mencetuskan muatan yang mendakwa bahawa perisian komputer pengguna itu telah tamat tempoh, mengenkripsi fail, dan meminta pengguna membayar untuk "membuka" fail.

Syarikat keselamatan McAfee menganggarkan bahawa pada tahun 2013, terdapat sekurang-kurangnya 250,000 ransomware unik.

Kes ransomware yang paling baru dan serius adalah CryptoLocker yang muncul pada tahun 2013, di mana pengguna akan mengalami penutupan keseluruhan dan tidak dapat mengakses mana-mana fail mereka.

Menurut akhbar harian UK, The Guardian, syarikat keselamatan itu mendakwa mereka yang terkena ransomware CryptoLocker akan melihat fail dan salinan mereka dihapuskan sama sekali, dan tidak memiliki peluang untuk mendapat kembali fail mereka.

Walau bagaimanapun, CryptoLocker mudah dikesan oleh perisian anti-virus dan dihapuskan, selagi ia tidak diaktifkan.

Perkara yang terbaik untuk pengguna komputer lakukan adalah supaya tidak klik pautan-pautan yang dikirimkan sumber-sumber yang tidak diketahui. Di samping itu, lindungi komputer dan data anda dengan sebuah perisian anti-virus yang berkesan.
-theantdaily-

Tiada ulasan: