"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang kolonel dan saya membincangkan perihal Mejar Zaidi

Rama Ramanathan
Sejak dua dekad yang lalu, sebagai seorang eksekutif korporat, saya terpaksa meyakinkan supaya kita melakukan perkara-perkara dengan cara yang sama di banyak negara lain. Saya terpaksa melaksanakan perubahan dan menguruskan mereka yang menentang perubahan.
Bentuk rintangan yang paling umum adalah "kita berbeza." Thailand dan Jepun canggih dalam cara mereka menunjukkan perbezaan. Mereka memanggil semua orang dengan "Khun" (Thailand) atau "San" (Jepun), sama ada orang itu warga Thai/Jepun ataupun tidak.

Di India dan China, rintangan ini berbeza bentuknya. Di India, orang ramai memaparkan perbezaan dengan merujuk kepada "Pusat" (Kerajaan Persekutuan) dan "Negeri" dan peraturan-peraturan dan pegawai-pegawai mereka yang berbeza. Di China saya sering diingatkan bahawa pengawal selia turut cuba untuk memberi saya cenderahati yang mewah, untuk mempengaruhi saya supaya mencadangkan pengembangan perniagaan ke wilayah mereka.
Organisasi-organisasi juga berbeza. Dalam salah sebuah temuramah yang saya lalui sebelum saya memegang jawatan terakhir saya, akhir – jawatan yang paling penting – soalannya berbunyi: "apa yang membuat anda berfikir yang anda tidak akan gagal dalam organisasi kami, seperti ramai yang lain?" Jawapan saya adalah: "Saya hanya bersedia untuk bekerja dengan anda kerana budaya kerja anda sama dengan apa yang saya biasa." Saya diterima bekerja di situ.

Saya menulis tentang budaya kerana ini sering kali muncul dalam perbincangan tentang Major Zaidi. Orang kata "itu bukan budaya angkatan tentera. Kami mempunyai budaya yang berbeza. Sebagai pegawai kanan, beliau sepatutnya tahu yang keputusannya untuk bercakap kepada media adalah tindakan ingkar.”

Seorang kolonel (bersara) mengingatkan saya bahawa juruterbang jet pejuang perlu menjawab soalan akhir ini sebelum mereka boleh mula menerbangkan pesawat: "Anda telah diarahkan untuk menggugurkan bom di lokasi yang dinyatakan oleh koordinat peta. Anda tiba. Anda sedari yang ianya adalah padang sekolah. Anda melihat kanak-kanak bermain di situ. Adakah anda akan patuh kepada arahan menggugurkan bom?"

Kolonel itu bercakap mengenai juruterbang Enola Gay yang menggugurkan bom atom terhadap ribuan warga Hiroshima, dan kemudian membantu menggugurkan bom atom terhadap ribuan warga Nagasaki. Beliau bercakap mengenai juruterbang yang menggugurkan bom-bom api di bandar-bandar semasa Perang Dunia Kedua. Beliau bercakap mengenai masa apabila "orang bawahan yang berfikir" menyebabkan kehilangan nyawa. Beliau tertanya-tanya sama ada Mejar Zaidi pernah meminta sesiapa pun untuk dibicarakan di mahkamah tentera kerana ingkar.

Beliau berkata "Angkatan tentera berbeza. Kami tidak seperti industri. Semuanya bergantung kepada tindakan menghormati rantaian perintah."

Saya hampir ketawa. Saya memberitahu beliau bahawa sebagai eksekutif korporat, saya juga mahukan disiplin. Saya berkata bahawa apabila sesuatu telah diputuskan untuk dilakukan, saya mengharapkan semua orang untuk menurutinya. Saya memberitahu beliau yang mereka yang tidak menghormati hierarki dalam industri juga tidak akan pergi jauh. Saya memberitahu beliau yang kami jarang menggunakan pangkat; dan apabila kami melakukannya, ia dilakukan dengan mengetahui yang kami hampir pasti akan disiasat. (Adakah mana-mana pegawai atasan Mejar Zaidi takut yang mereka mungkin akan disiasat?)

Saya menambah bahawa beliau telah membandingkan epal dan oren. Saya mencadangkan beliau seharusnya berfikir tentang bagaimana seorang pegawai tentera harus berkelakuan, dalam sebuah negara yang diselubungi rasuah seperti Filipina di bawah Marcos (masih ingatkah dengan Jeneral Ramos?). Saya mencadangkan beliau berfikir tentang arahan melakukan kekejaman yang diterima tentera Israel.

Saya mencadangkan beliau pertimbangkan rekod tuan-tuan politik angkatan tentera kita. Saya mencadangkan beliau memikirkan semangat dalam Tentera Udara yang menjadi bahan jenaka, kerana komen-komen bodoh yang dibuat oleh menteri pertahanan dan amalan rasuah dalam kontrak pertahanan yang menyebabkan bukan sahaja rasa malu terhadap juruterbang, tetapi juga kematian mereka, contohnya dalam helikopter. (Dia tersenyum.)

Saya mencadangkan beliau mempertimbangkan bagaimana, dalam sebuah negara dengan persekitaran sedemikian, pegawai-pegawai berpangkat harus bertindak dalam hal-hal sivil seperti pilihan raya.

Perbandingan yang betul adalah bukan dengan sasaran pengeboman. Perbandingan betul adalah dalam hal pendedahan maklumat. Tindakan mendedahkan maklumat memerlukan tindakan terancang dan berisiko menjejaskan kerjaya, untuk mendedahkan kebenaran yang penting.

Semasa Perang Vietnam, ketiadaan pendedahan dalam angkatan tentera Amerika Syarikat menyebabkan ramai tentera Amerika cedera, ditangkap atau dibunuh disebabkan oleh kecacatan senapang M16 mereka. M16 asal adalah begitu tidak sempurna sehingga tentera Amerika lebih suka menggunakan senapang AK47 yang dirampas dari musuh-musuh mereka – dan tiada askar Vietcong yang mahu menggunakan M16 yang telah dirampas!

Menurut rekod tentera yang kini didedahkan, 80 peratus daripada 1,585 anggota tentera yang disoal pada tahun 1967 telah mengalami kegagalan di lapangan – tahun bila mana tentera itu turut menafikan kegagalan lapangan, malahan secara dalaman. Akhirnya sebuah jawatankuasa kecil kongres membidas tentera itu kerana kedegilannya.

Mereka mungkin memanggil antara satu sama lain "Khun" atau "San" atau "Sir" dan mengatakan yang mereka berbeza. Tetapi apa yang salah masih tetap salah. Mejar Zaidi adalah seorang pendedah maklumat, bukannya seorang pegawai yang ingkar perintah.

Seorang jurutera terlatih, Rama Ramanathan merupakan Ketua Kualiti (Asia Pasifik) di dua syarikat multinasional yang berpangkalan di AS sejak dua dekad yang lalu. Setelah penat mengembara, beliau kini mendiami KL dan memberi tumpuan kepada usaha menjadi seorang jiran dan warganegara yang bertimbangrasa.

Tiada ulasan: