"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ngapa Erdogan tidak dulukan hudud?

SUBKY LATIF
SEBAGAIMANA saya tidak mahu mengatakan Islam PAS lebih baik daripada Islam Umno, maka saya mengelak daripada mengatakan bahawa Islam Malaysia ini lebih baik daripada Islam Turki.
   
Cuma saya boleh kata, kita terutama di Kelantan lebih lebai dan lebih ramai lebai daripada Turki. Justeru lebatnya lebai itu Kelantan beriya-iya mahu hudud dilaksana lambat laun. Tidaklah kurang inginnya orang Turki untuk kembali kepada pemerintahan Islam, tetapi  suasana yang ada Presiden Recep Tayyip Erdogan tidak mendahulukan hudud dalam mengembalikan Islam kepada masyarakat dan pemerintahan.
     
Kekebalan Kemal Ataturk dan ajaran sekularisma dalam perlembagaannya jauh mengatasi kekebalan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Tiada siapa sedar akan ulang tahun kemangkatan sekalian duli, akan tetapi pada minit dan jam ulang tahun kematian Ataturk kena berdiri seminit, yang berjalan kaki berhenti seminit, yang memandu motokar membunyikan hon seminit. Cuma anak saya semasa belajar di Turki apabila datang waktu itu dia masuk ke bilik air. Berbunyi saja semboyan, dia pun kencing.
   
Di Malaysia sesiapa yang memperleceh Raja kena akta hasutan saja. Jika ada yang dikira menderhaka kepada ajaran kemalisma nescaya datang malaikat maut kepadanya.
   
Apabila Erdogan jadi Datuk Bandar Istanbul dia mula dicurigai kerana buat pertama kali sejak kejatuhan empayar Islam Turki, diadakannya musalla di Dewan Bandaraya, saiznya sebesar musalla stesyen minyak Petronas saja. Apabila satu hari dia membaca sajak Islam yang selalu dideklamasikan oleh kanak-kanak sekolah, Datuk Bandar Erdogan didakwa, dijatuhkan hukum, lucut jawatan diharamkan memegang jawatan awam untuk tempoh tertentu.
   
Sebelum jadi Datuk Bandar dia adalah ketua pemuda, Refah Partisi Turki dan ketua parti bagi Istanbul. Parti Islam itu adalah parti pimpinan Erbakan yang kedua diharamkan. Lepas itu dua lagi partinya yang ditubuhkan diharamkan. Lepas itu Erdogan tidak ikut lagi Erbakan. Dia tubuh parti sendiri, menang. Jadi Perdana Menteri dan kini jadi Presiden.
   
Erbakan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dia bercakap tentang Islam dan memperkenalkan Islam kepada rakyat melalui kerajaan. Tentera memecatnya, mengharamkan partinya, melarangnya berpolitik untuk tempoh tertentu.
   
Semasa dia jadi Pedana Menteri dan Erdogan jadi Datuk Bandar Istanbul. Dia bina masjid gunakan dana kerajaan, adakan kemudahan haji dan beberapa syiar Islam. Dia diberi kata dua, letak jawatan atau ditangkap? Terpaksalah meletak jawatan.
     
Perlembagaan Turki memberi kuasa kepada tentera, polis dan universiti bagi melindungi ajaran sekular kemalisma. Sesiapa yang mengancam Ataturk dan ajarannya, tiga anasir ini akan bertindak menghancurkannya.
   
Awal tahun 50-an berlaku kebangkitan umat Islam kerana Turki pupus imam dan khatib. Jika dibiarkan, tiada acara sekularisma Ataturk dapat dipertahankan. Maka dilantik seorang anggota parlimen yang baik, Adnan Manderas jadi Perdana Menteri. Dia mengadakan sekolah Imam dan Khatib bagi membekalkan imam dan khatib ke masjid-masjid. Dibenarkan semula azan rasmi. Sebelumnya azan dalam bahasa Turki. Dibenarkan Quran dalam tulisan asalnya digunakan, tidak lagi Quran tulisan rumi. Banyaklah syiar Islam diperkenalkannya.
   
Golongan elit kemalis mengira Adnan Manderas membahayakan sekularisma Ataturk. Seluruh pelajar universiti bangkit menentang. Tenterapun merampas kuasa. Adnan Manderas yang  10 tahun jadi Perdana Menteri/Presiden dikenakan tindakan gantung di khalayak umum.
   
Di bawah perlembagaan dan politik seperti inilah Erdogan menjadi Pedana Menteri. Keutamaan poliik Turki ialah menyertai Komuniti Eropah. Siapa yang boleh membawa Turki ke dalam EU? Ia adalah antara kempen Erdogan. Mana boleh negara hudud jadi anggota EU?
   
Maka fiqh aulawiyyat Erdogan ialah menangani perlembagaan demikian rupa dan menyertai EU. Jika aulawiyyatnya hudud, mautlah jawabnya.

Tiada ulasan: