"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pak Menteri temberang lagi tentang ekonomi dan GST

Dzulkefly Ahmad
Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan Bernama pada 28 Mac sebagai berkata: “Kerajaan perlu pelbagaikan sumber kewangan termasuk melaksanakan Cukai GST kerana sekarang sumber kewangan bergantung kepada minyak dan gas.... ini adalah antara lain untuk membayar gaji penjawat awam dan bayaran pencen yg semakin bertambah”.

1. Sama ada menteri kewangan, perdagangan dan industri antarabangsa atau gabenor Bank Negara, apabila mahu meyakinkan rakyat bahawa pimpinan negara bijak mengurus kewangan dan ekonomi kita sihat asas-asas atau fundamentalnya, pastinya akan menggunakan hujah sama tetapi dengan maksud sebaliknya.
2. Yakni, atas kebijksanaan perdana menteri selaku menteri kewangan, kita tidak lagi bergantung kepada sumber minyak dan gas. Ekonomi kita sudah mengalami perubahan struktural ekonomi dan tidak lagi bergantung sumber asli dan komoditi seperti minyak, gas dan kelapa sawit serta getah. Ekonomi kita, tegas mereka, sudah "diversified" atau "pelbagai" dan kini lebih "resilient" atau kebal daripada risiko kejutan ekonomi global kononnya.

3. Namun, apabila hendak jugak melaksanakan GST yang jelas akan membebankan rakyat berpendapatan rendah dan rendah-sederhana, khasnya golongan tidak makan gaji atau berpencen yang boleh dinaikkan pendapatan mereka, senang-senang pak menteri behujah macam sebaliknya.
4. Saya merujuk kepada laporan The Star, 14 Februari 2015, "Zeti dispels oil rout myth" (Zeti menolak mitos pergantungan minyak) menekankan negara tidak terlalu terkesan dengan kejatuhan minyak mentah dunia kerana kita telah mempelbagai ekonomi negara, eksport negara dan sumber hasil negara. Tegasnya "permintaan domestik" adalah tunggak dan pemacu pertumbuhan sekarang ini.

5. Kalau begitu penjelasan gabenor Bank Negara, yang paling pakar perihal ekonomi negara, mengapa dan apa lagi yang disanggah oleh pak-pak menteri ini?

6. Fahamkan sekali lagi penegasan gabenor itu: permintaan domestik adalah kuncinya. Nak tanya pak menteri: apakah faktor yang menguatkan permintaan domestik ini dan bagaimanakah kita menjana dan menggalakkan atau "incentivise" faktor ini?

7. Permintaan domestik mampu dijana dengan, antara lainnya, meningkatkan pendapatan boleh berbelanja rakyat (isi rumah) atau "disposable income of household", keupayaan syarikat dan kerajaan. Sebagai contoh, lebih besar "disposable income" rakyat, lebih besar mereka berbelanja samada perihal segala a) barangan dan b) perkhidmatan, sekaligus menjana permintaan.

8. Fahamkah pak menteri bahawa GST bukan sahaja mencekik rakyat dengan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan, tetapi sekaligus akan mengurangkan keupayaan mereka berbelanja atau kuasa berbelanja dan membeli rakyat? Permintaan akan menjana bekalan dan kegiataan ekonomi oleh pihak pengeluar-pembekal termasuk faktor kegiatan import (dan juga eksport).

9. Pak menteri juga tidak boleh buat pekak terhadap bebanan GST ini yang sifatnya sangat ganas (vicious) terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana berbanding yang kaya. Ini yang dimaksudkan dengan sifat GST yang regresif atau meninggalkan kesan yang songsang atau lebih beban atau perit kepada golongan berpendapatan rendah. Sebaliknya juga, semua hal pemotongan cukai korporat dan cukai pendapatan, tidak releven bagi mereka berpendapatan rendah. Gaji minima yang sepatutnya dikuatkuasa pun tidak semua pihak majikan laksanakan. Yang menerima BR1M pula, akan terasa apabila GST bermula, macam "untung secupak, rugi segantang".

12. Kajian Bank Dunia mengesahkan bahawa semua model GST termasuk di Malaysia adalah regresif dan punya kesan songsang dan ganas, terhadap kumpulan berpendapatan rendah, sebab mengikut Bank Dunia, sukar mencerakinkan keperluan semua golongan kelas rakyat bagaimanapun disifarkan dan dikecualikan barangan dan perkhidmatan itu dalam GST.
Sebabnya? Pertindihan keperluan barangan dan perkhidmatan sangat ketara sebagai contohnya kesihatan, pendidikan, pengangkutan bahkan hal-hal makanan dan keperluan harian seperti lampin bayi atau orang tua.

13. Saya telah pohon beberapa kali daripada ketua pengarah Kastam diRaja dalam beberapa pertemuan,termasuk dalam forum RTM setahun lalu, supaya mengeluarkan satu simulasi "Kajian Impak Kewangan" atas semua barangan dan perkhidmatan kepada pelbagai kelompok atau kelas: 1. rendah, 2. rendah-sederhana, 3. menengah dan menengah-atas dan golongan kaya serta super-rich. Ini bagi mengenalpasti kesan, beban dan dampak kewangan sebenarnya.

14. Beliau hanya berjanji tetapi sehingga hari ini, dua hari sebelum GST dikuatkuasa pada 1 April, masih tidak terjawab. Rakyat berpusu-pusu membeli semacam mahu menyambut hari besar masing-masing. Pelbagai kekeliruan pihak pengguna-rakyat dan pihak pengusah tentang GST masih tidak dijawab pihak kastam.

15. Kajian Impak itu masih belum ditunaikan secara tuntas dan jelas bagi menyanggah dakwaan Bank Dunia tadi bahawa GST Malaysia tidak regresif dan tidak membebankan rakyat khasnya golongan miskin.

16. Terkini, bukan saja pembangkang dan pimpinan NGO bahkan mantan PM dan mantan menteri kewangan menyuarakan bantahan supaya GST ditangguh memandangkan suasana ekonomi yang terus menghimpit rakyat berdepan kelembapan ekonomi global.

17. Tun Dr Mahathir Mohamad turut meramalkan BN tumbang, namun Datuk Seri Najib Razak dan penguasa politik hari ini masih bertegas. Apakah mereka ini sememangnya "desperate" sangat? Itu isyarat tidak baik, di mana segala fakta dan dakwaan Pemandu dan BNM yang ekonomi kita sihat dan kukuh, sehingga tergamak untuk laksanakan juga cukai yang bebankan rakyat ini?

18. Akhir sekali, bagi mewakili rakyat di Malaysia yang mahu diwakilkan, saya menyeru Najib selaku menteri kewangan menangguhkan cukai ganas dan regresif ini. Tutuplah lubang ketirisan, pembaziran, hentikan amalan kronisme dan pembolotan serta kerakusan dengan urus-tadbir kewangan negara penuh kebertanggungjawaban bagi meningkatkan hasil negara secara mapan.

19. 1MDB adalah mercu tanda segala kecurangan, kebobrokan dan kemungkaran ekonomi dan keculasan tatakelola kewangan negara masa kini.

20. Wajarkah rakyat dicukai, khasnya golangan miskin dan berpendapatan rendah, sementara pemimpin dan penguasa politik bermewah dan kaya raya (seperti khususnya yang didedahkan sebuah majalah The New York pada 9 Februari lalu)?

Tiada ulasan: