"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Jangan kacau teloq aku’

Tan Sri Zainuddin Maidin
Dalam suasana ketegangan politik negara sekarang ini, eloklah jika saya mencatitkan anekdot lucu pengalaman meliputi berita politik di masa lalu, yang diharap dapat menenangkan perasaan semua.

Gambar Pemuda Umno menjulang Datuk Seri Najib Razak mengingatkan saya semula kepada peristiwa itu yang berlaku ketika saya pemberita Utusan menunggu keputusan Pilihan Raya Umum pada 19 Ogos 1959 di Balai Besar Alor Setar.

Wartawan-wartawan menunggu di sebuah bilik yang disediakan di bahagian bawah dan dewan besar di atas untuk pemimpin besar Perikatan dan calon-calon Perikatan serta rakan-rakan mereka.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman. menunggu di anjung yang mengadap ke jalan raya dan juga Padang Mahkamah (Padang Court) di mana ramai orang berhimpun untuk turut menunggu keputusan.

Saya telah diarahkan Pengarang Berita Utusan Melayu di Kuala Lumpur, Salim Kajai supaya menemui Tunku sebaik sahaja Perikatan dapat membentuk kerajaan.

Pada jam kira-kira 2 pagi, saya terus pergi menemui Tunku seorang diri. Kata Tunku "belum tahu semua lagi bagaimana saya nak komen" tetapi saya meyakinkan Tunku "dah cukup kerusi untuk bentuk kerajaan". Tunku terus menyatakan, "Saya bersyukur kepada Allah SWT yang beri kemenangan pada kita, Perikatan akan bentuk semula kerajaan...".

Tidak lama kemudian, setelah sah Perikatan dapat membentuk kerajaan, Tunku turun menemui penyokong-penyokong yang sedang bersorak riang menyambut setiap kemenangan kerusi calon Perikatan yang diumumkan. Saya ikut turun.

Penyokong-penyokong mengangkat Tunku dan menjulang ke atas. Tunku senget ke kiri, senget ke kanan, Dalam keadaan yang tidak seimbang ini, Tunku berkata "Ooi hampa nak angkat, angkatlah, tapi janganlah kacau teloq aku!" yang menyebabkan mereka yang menjulangnya ketawa riuh rendah.

Tetapi nasib baik dalam keadaan geli hati, mereka tidak terlepas daripada memegang Tunku. Jika tidak Tunku betul-betul jatuh ke bawah.

Bagaimanapun, mungkin Tunku yang sedang dijulang juga bimbang akan jatuh dan berseloroh untuk menenangkan hatinya.

Tunku hanya jatuh setelah Pilihan Raya 1969, setelah rakyat Bumiputera tidak lagi menerima dasarnya yang pro-Barat dan banyak bertolak ansur dengan orang Cina dan digantikan oleh Tun Abdul Razak yang memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru dan memperkukuhkan lagi ISA dan Akta Hasutan. – 20 Mei, 2015, zamkata.blogspot.com.

* Tan Sri Zainuddin Maidin merupakan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan bekas menteri penerangan .

Tiada ulasan: