"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pilihan Muhyiddin jika digantung keahlian

Wong Chin Huat
Selain kekurangan sumber melawan Datuk Seri Najib Razak, kem Mahathir-Muhyiddin juga kekurangan diagnosis yang menyeluruh dan cadangan rawatan yang menyakinkan kepada penyakit Umno.Kuat akhbar angin sekarang, pemimpin akar umbi Umno di peringkat bahagian ingin menjatuhkan timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kononnya sindiran beliau yang pemimpin Umno pengecut membarakan kemarahan kumpulan ini.

Soalan menarik bukanlah sama ada Muhyiddin yang dikatakan disiasat Jawatankuasa Disiplin Umno bersama 6 orang pemimpin lain akan digantung keahliannya, tetapi apa yang akan dan boleh Muhyiddin buat jika ia berlaku.

Beliau mempunyai 3 pilihan.

Pilihan pertama: Pengecut

Pertama, Muhyiddin boleh tunduk menerima keputusan jawatankuasa disiplin. Ini akan menjadikan beliau sendiri “pengecut”.

Jika ini pilihan Muhyiddin, maka perbandingan terlalu ketara bila ditimbangkan bersama 2 orang bekas tmbalan perdana menteri/timbalan presiden yang juga pernah berlawan perdana menteri/presidenUmno, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Musa Hitam.

Anwar memilih tidak tunduk kepada tekanan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya beliau meletak jawatan dan bersara daripada politik. Untuk keputusan itu, Anwar bukan sahaja dipecat daripada kedua-dua jawatan timbalan, malah diaibkan di media dan di mahkamah, dan akhirnya dipenjarakan.

Musa juga melawan balik. Pada 1986, beliau meletak jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, lalu membawa diri ke London.

Majlis Tertinggi Umno yang terkejut dengan keputusan Musa menghantar rombongan ke London memujuk beliau. Akhirnya, Musa bersetuju mengekalkan jawatan timbalan presiden sahaja.

Ini sudah pun menjadi perbandingan besar kepada Muhyiddin yang tidak berani meletak jawatan timbalan perdana menteri sampailah hanya mendapat tahu pemecatannya sejam dua sebelumnya.

Pilihan kedua: Lawan tetap lawan, lawan Umno

Kedua, Muhyiddin juga boleh memilih melawan balik dari luar parti.

Ini bermakna, Muhyddin terpaksa menubuhkan atau menyertai parti pembangkang, dan melawan Umno/BN.

Tiga orang pemimpin kanan Umno pernah berbuat demikian.

Pada 1951, Dato' Onn Jaafar, presiden pertama dan pengasas Umno, meninggalkan partinya apabila 2 kali cadangan beliau membuka keahlian Umno kepada bukan Melayu ditolak.

Dato’ Onn kemudian menubuhkan 2 parti baru, Independence of Malaya Party (IMP) yang bersifat anekaethnik, dan Parti Negara yang lebih pro-Melayu daripada Umno, tetapi kedua-duanya gagal.

Pada 1988, Tengku Razaleigh berpakat dengan Musa dalam Team B untuk mencabar Team A yang dipimpin oleh Dr Mahathir dan timbalan baharu, Tun Ghafar Baba. Mereka kedua-duanya kalah dengan tipis.

Setahun kemudian, Umno diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah dan Umno Baru yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir menyisihkan Razaleigh dan penyokongnya.

Razaleigh terpaksa membentuk Parti Semangat 46 (S46) untuk melawan Umno dalam pilihan raya umum. Kerana 2 pembangkang utama PAS dan DAP terlalu beza ideologinya dan tidak dapat bekerjasama, maka S46 menjadi pemimpin kepada 2 parti itu.

Akan tetapi, S46 memenangi cuma 7-8 kerusi Parlimen dalam PRU 1990 dan 1995. Pada 1996, Razaleigh membubarkan S46 dan membawa ahlinya kembali kepada Umno.

Jalan diambil Anwar agaklah sama dengan jalan Razeleigh. Penyokong beliau turut membentuk parti baharu, PKN, kini PKR.

PKN turut diterima oleh kedua-dua PAS dan DAP sebega parti pemimpin dalam gabungan pembangkang Barisan Alternatif (BA), pada pilihanraya 1999.

Sungguhpun BA berkubur 2 tahun kemudiannya, Anwar dan partinya tetap diterima sebagai pemimpin dalam Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas pilihan raya 2008.

Berlainan daripada Razaleigh dan Anwar, jika Muhyiddin ingin membentuk parti pembangkang baharu, beliau tidak akan diangkat sebagai pemimpin pembangkang atau pun calon perdana menteri secara automatik.

Kerana pembangkang (DAP, PAS dan Amanah) jauh lebih kuat daripada masa dahulu, Muhyiddin perlu membawa keluar lebih kurang 20 orang ahli Parlimen Umno untuk memimpin parti pembangkang yang sedia ada.

Pilihan ketiga: Lawan tetap lawan, lawan dalam Umno

Muhyiddin juga boleh memilih jalan baharu yang tidak pernah diambil oleh Razaleigh atau Anwar, iaitu melawan perdana menteri dari dalam parti.

Beliau dan sekutunya seperti Dr Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal boleh berjelajah ke seluruh negara untuk meraih simpati dan seterusnya menghasut akar umbi Umno dan orang Melayu mencabar kepimpinan Najib dan keputusan penggantungan keahlian.

Namun, peluang kejayaannya tipis sekali. Nyata sekali, Muhyiddin, malah Dr Mahathir, tidak mendapat sokongan daripada pemimpin kanan Umno, seperti Razaleigh pada 1988, atau pun sokongan daripada orang Melayu biasa, seperti Anwar pada 1998.

Apakah diagnosis untuk Umno yang tenat?

Bagi ramai penganalisa, kelemahan kem Mahathir-Muhyiddin ialah kekurangan sumber penaungan (patronage) untuk membeli sokongan dalam Umno, daripada pemimpin kebangsaan sampailah ke pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan.

Bagi saya, kekurangan besar yang kurang mendapat tumpuan ialah rasional perjuangan, yang diperlukan, kecuali Muhyiddin memilih menjadi pengecut.

Mahathir-Muhyiddin tidak mungkin menguasai Umno sebelum parti ini berpecah. Akan tetapi, perpecahan Umno perlukan justifikasi kerana orang Melayu yang biasa dengan dominasi dan naungan Umno merasa gelisah dengan persaingan antara elit politik.

Apakah justifikasi untuk Umno berpecah dahulu untuk mendetokskan dirinya?

Kalau Umno dikatakan sakit, maka doktor tidak boleh merawat sahaja tanpa memberikan diagnosis.

Bagi doktor yang bernama Dr Mahathir, diagnosis itu mudah sahaja: Najib adalah barah kepada Umno. Kekalkan Najib, Umno mati. Singkirkan Najib, Umno sihat dan kuat sampai hari kiamat.

Persoalannya: apakah sebab kepala Umno itu boleh tumbuh barah? Apa yang boleh menjamin kepala baharu Umno tidak juga tumbuh barah?

Panglima perang dalam Umno yang merupakan parasit kepada parti itu tidak berminat dengan soalan ini. Tetapi jawapan jujur dan berani kepada soalan ini perlu supaya akar-umbi Melayu menyokong cabaran kepada pimpinan Umno, yang semestinya membawa kepada perpecahan.

Pencabar presiden Umno yang lepas, Razaleigh dan Anwar, berjaya memobilisasikan akar-umbi Melayu kerana mereka berani memberikan diagnosis yang lebih menyakinkan dan menawarkan rawatan yang lebih menyeluruh.

Hari ini, kem Mahathir-Muhyiddin cuma menyalahkan masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa kepada Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan kaki pengampu mereka, seolah-olah struktur dan operasi Umno yang berjaya mengekalkan kuasa dengan penekanan dan penaungan itu bukan masalah pokoknya.

Dr Mahathir dan Muhyiddin cuma “bermain selamat”, tetapi itu mungkin strategi yang paling bahaya kerana rakyat lebih pandai berfikir daripada era Razeleigh dan Anwar.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: