"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri dibelasah kerana enggan berhenti kerja

Kuala Terengganu – Seorang wanita dibelasah suaminya gara-gara enggan berhenti kerja di sebuah hotel dalam satu kejadian di Kampung Pasir Panjang, di sini, Isnin lalu.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa, 30, sedang berjalan kaki bersendirian ke tempat kerja dan setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba suspek, 30, muncul dengan menunggang motosikal.

Menurut sumber, suspek yang datang dari arah belakang terus menghampiri mangsa sebelum bertindak menarik tudung yang dipakainya.

“Tanpa menghiraukan orang awam yang berada di situ, suspek meninggikan suara memaki hamun mangsa sambil mengarahkan agar ibu malang itu berhenti kerja serta merta.

“Sebelum beredar, suspek juga turut mengugut mangsa yang dia akan ke tempat kerjanya bagi memaklumkan kepada majikannya yang mangsa tidak lagi mahu bekerja di hotel tersebut,” katanya.

Sumber berkata, bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan segala ugutan tersebut lalu meneruskan perjalanannya untuk ke tempat kerja.

“Namun, suspek yang masih tidak berpuas hati secara tiba-tiba telah berpatah balik dan terus melanggar mangsa dari arah hadapan sehingga mangsa tersungkur jatuh di bahu jalan.

“Meskipun melihat keadaan mangsa yang menahan kesakitan, suspek tetap bertindak mengangkat mangsa naik ke atas motosikalnya sebelum membawa pulang ke rumah ibunya (ibu mertua mangsa) di Kampung Pak Pa, di sini,” katanya.

Jelasnya, sejurus sampai di rumah, suspek yang masih menyimpan dendam itu bertindak memukul di bahagian kepala dan badan mangsa tanpa simpati.

Mangsa nekad membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan anak-anaknya pada masa akan datang kerana suspek seorang yang panas baran dan kerap kali memukulnya sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan menjelaskan kes berkenaan kini dalam siasatan, lapor Sinar Harian.

Tiada ulasan: