"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU 14: Mahfuz ramal PH menang jika pertandingan tiga penjuru.

Mazlan Aliman
Bekas Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar meramalkan Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan yang paling mendapat manfaat sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak.

Mahfuz berkata, pemimpin tertinggi Pas dan PKR tidak perlu menyembunyikan realiti pergolakan politik pembangkang daripada para penyokong. Idea meneruskan tahaluf siyasi antara Pas dan PKR atau mewujudkan dua front politik PH dan Pakatan Rakyat menghadapi PRU 14, katanya, adalah tindakan merendah-rendahkan kebijaksanaan berfikir rakyat.

“Adakah parti pembangkang sekarang mahu menjadi pelawak untuk ditertawakan rakyat dengan aksi lawak mereka?

Atas perkiraan ini, PKR tidak akan sanggup meninggalkan PH yang diusahakannya. Inilah yang dijangka berlaku di mana Pas akan bersendirian. Inilah yang akan menyebabkan undi Melayu berpecah tiga.

“Jika undi Melayu berpecah tiga, ini akan memberi peluang pada PH untuk menang kerana PH mendapat kelebihan besar sokongan undi bukan Melayu Islam.

“Sebab itu, Najib sudah dapat membaca dan berusaha untuk meminimumkan perpecahan undi Melayu kepada dua kelompok sahaja iaitu PH dan BN. Inilah lontaran hasrat kerjasama dengan Pas di sebalik kalimah silaturrahmi.

“Najib juga mengharapkan jika kerjasama ini menjadi kenyataan, Umno akan mendapat limpahan sokongan undi Melayu daripada Pas dan Pas juga akan mendapat limpahan sokongan undi Melayu daripada Umno.

“Saya percaya Najib bersedia mempertaruhkan persempadanan baru kawasan pilihan raya dengan menambah bilangan kawasan pilihan raya Dun dan Parlimen khususnya di Kelantan dan di Terengganu untuk memastikan kerjasama Umno-Pas menjadi kenyataan dan akan mengagendakan kebencian Melayu terhadap kaum Cina dengan menjadikan Dap sebagai ‘punching bag’,” katanya dalam satu kenyatan media.

Kata Mahfuz lagi, bagi mengelakkan malapetaka kehilangan undi maka Presiden Umno Najib Razak bersungguh-sungguh mahu parti pimpinannya bergabung bersama Pas demi menyatukan undi Melayu.

“Hasrat ini menunjukkan betapa “terdesaknya” Najib dan Umno berdepan krisis kepercayaan rakyat pada beliau. Najib mengharapkan jika dia berjaya mendapat kerjasama politik yang rasmi dengan Pas maka redalah pergolakan dalaman Umno yang menuntut beliau melepaskan jawatan.

“Ini akan mengunci mulut Tun Mahathir dan kumpulan Muhyidin kerana seluruh pimpinan dan ahli Umno akan melihat ini (kerjasama Pas – Umno sebagai) kejayaan kedua selepas kejayaan Allahyarham Tun Razak (membawa Pas bersektu dengan BN pada 1970),” katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz tidak bersetuju dengan cadangan balas bagi mengelakkan Pas terjun ke dalam lubuk BN sebagaimana yang diutarakan oleh pemimpin PKR Tian Chua yang mahu mewujudkan dua pakatan politik menghadapi PRU 14. Bagi Mahfuz, idea dua front politik telah berlalu dan tidak sesuai lagi untuk dipraktikkan.

“Tidak mungkin boleh wujud dua pakatan pembangkang iaitu PKR, Amanah dan DAP atas nama Pakatan Harapan dan satu lagi PKR dan Pas atas nama Pakatan Rakyat. Ini suatu yang sangat mustahil dan pelik.

“Ada yang berkata ini pernah berlaku pada 1990 dulu. Pada waktu itu Pas tidak pernah ada kerjasama rasmi dengan DAP secara rasmi. Tetapi jika mahu dibuat sekarang dengan mengambil contoh yang lalu, ia bertembung dengan keadaan semasa di mana Pas dan DAP sebelum ini boleh dan telah pun bekerjasama dalam satu tempoh 1999 – 2003 dan 2008 – 2013.

“Ini akan menjadi persoalan pada rakyat kenapa harus ada dua front yang berasingan,” katanya lagi

Tiada ulasan: