"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri kedua ‘Datuk’ maut ditetak di rumahnya di Taiping

Seorang wanita berusia 68 tahun, dipercayai isteri kedua kepada pesara bergelar “Datuk” maut selepas ditetak dengan parang di belakang leher di rumahnya di Taman Lake View, Taiping, dekat Ipoh semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harith Kam Abdullah berkata ketika kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa dan suami dikunjungi saudara perempuan terdekatnya berusia 78 tahun bersama pekerjanya seorang lelaki berumur 57 tahun.

"Sebaik mereka berada dalam rumah, tiba-tiba 2 lelaki memakai topeng dan bertopi keledar meluru masuk.

"Seorang suspek bertindak mengikat suami mangsa dengan kain selendang tetamu wanita itu manakala tetamu lelaki diugut dengan parang diletakkan di lehernya," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
Beliau berkata mangsa dibawa ke bilik tidur oleh kedua-dua suspek sebelum melarikan diri.

"Selepas itu, tetamu lelaki itu ke bilik tidur berkenaan dan mendapati mangsa meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Harith berkata pihaknya menemui parang di luar kediaman yang disyaki dibuang suspek.

"Barang kemas mangsa yang bertaburan di atas katil dan meja solek tidak diambil kedua-dua suspek itu.

"Hasil siasatan, suami mangsa berkata hubungannya dengan tetamu wanita itu amat buruk dan mereka datang ke rumah untuk meminta wang perbelanjaan daripadanya kerana mendakwa mengabaikan kebajikan wanita berkenaan dan seorang anaknya yang sedang sakit tenat, katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat, katanya.

Harith berkata polis menahan kedua-dua tetamu di rumah mangsa untuk membantu siasatan manakala kedua-dua lelaki yang melarikan diri masih diburu.

"Polis masih belum pasti kejadian bermotif samun atau konflik keluarga. Kedua-dua tetamu ditahan untuk membantu siasatan," katanya. 
-Bernama-

Tiada ulasan: