Mohd Sayuti Omar
Kemelut politik di Kedah apa dinamakan pemberontakan untuk menyingkirkan Mukhriz Mahathir sebagai MB dan juga Pengerusi Umno Kedah mempunyai cerita berbingkai, prodi. Cerita dalam cerita atau pun ada maksud tersirat. Cerita berbingkai ini jarang disuluh atau mungkin sama sekali tidak terintai kerana terlalu ghairah untuk melihat Mukhriz tersungkur segera.
Keghairahan itu sehinggakan menutup cerita dalaman.
Usaha penyingkiran Mukhriz pula ada sangkut paut dengan, atau bersekali dengan kerja untuk membalas dendam menyerang dan memalukan Dr Mahathir Mohamad yang bertubi talu menyerang Najib. Para pendokong Najib atau mereka percayai hidup senang dengan kuasa, berkolaborasi untuk melawan Mahathir demi survival politik Najib. Mereka itu perlu menjaga dan menyelamatkan survival politik Najib kerana mereka juga bergantung hayat kepada Najib. Mereka perlu menjaga Najib dengan harapan Najib terus memberi nyawa serta baksis kepada mereka.
Orang-orang yang berpegang demikian seharusnya tidak diterima sebagai pemimpin. Mereka seperti inilah pengkhianat amanah rakyat dan negara. Yang hidup atas titik peluh dan kepercayaan rakyat. Seharusnya mereka ditohok dan dijatuhkan. Orang-orang yang disebut celaka oleh Allah, adalah mereka yang tidak bertanggungjawab ke atas amanah yang disangkutkan ke atas bahu mereka, sesudah mereka mengaku dan bersumpah untuk memikulnya.
Itulah yang dilihat disebalik kemelut dan pergolakan politik di Kedah itu. Ia dapat disahkan apabila rancangan atau pelan hendak menjatuhkan Mukhriz itu tidak dibuat mengikut perlembagaan dan konvensyen parti sebelum ini. Kemelut itu bukan lahir di Kedah, tetapi ia terilham dari Putrajaya. Sikap atau kenyataan dibuat oleh Setiausaha Agung Umno Teuku Adnan Mansor menjelaskan segala cerita.
Hal ini bukan sengaja untuk memburuk-burukkan apa yang berlaku, tetapi diakui sendiri oleh sebahagian pemimpin Umno Kedah. Perkembangan yang bergeliwat, peralihan yang berkecamukan di Kedah kini menambah jelaskan apa yang tidak jelas.
Apa yang berlaku itu adalah gambaran luaran sahaja. Tetapi ada maksud dan agenda lain lagi lebih besar disebalik usaha hendak menggugurkan Mukhriz dan sekali gus melemahkan pengaruh Mahathir itu. Ia bukan setakat mahu menukar jawatan MB Kedah, itu perkara kecil sahaja. Perkara paling besar ialah untuk melaksanakan agenda setahun dua tahun lagi. Apa dimaksudkan ialah agenda untuk menguasai Umno seluruhnya. Itu yang utamanya. Isu Mukhriz itu sebagai alasan sahaja.
Saya tetap berkeyakinan kemelut itu bukan beraspirasi di Kedah tetapi di Putrajaya, maka ianya dirancang di luar Kedah cuma diletupkan di Kedah. Justeru agenda sebenarnya lebih besar daripada hendak menurunkan Mukhriz itu.
Peristiwa di Kedah itu hanya adalah permulaan sahaja. Peristiwa itu untuk mencapai dua maksud utama, pertama menguasai Umno dan kedua pilihan raya ke-14. Apa pun niat menguasai Umno itu lebih penting daripada pilihan raya kerana kalau pilihan raya diutamakan peristiwa itu tidak diletupkan kerana ia menjejaskan prestasi Umno di Kedah.
Dalam konteks Kedah, Umno bukan bersiap dengan membuang Mukhriz untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Tidak. Kalau pilihan raya umum bukan dengan menimbulkan perpecahan dan pergaduhan sesama sendiri, sebaliknya persiapan sebenanrya ialah untuk menghadapi perhimpunan agung Umno. PAU adalah penting bagi tokoh-tokoh tertentu menempatkan dirinya bagi mengekalkan kedudukan yang ada kini. Bahkan kemenangan mereka dalam PAU lebih penting dari mengekalkan Kedah ditangan Mukhriz.
Justeru gerakan menggugurkan Mukhriz itu bagai membendung pengaruh MB dan bapaknya yang kini sedang cuba mempengaruhi Umno untuk mengembalikan parti itu ke tapak sebenarnya dimana kalau dibenarkan kedudukan orang-orang tertentu yang berhajat untuk naik akan tergendala. Maka bagi melincinkan perjalanannya usaha harus dilakukan.
Orang-orang berminat untuk menguasai Umno khasnya memenuhi kekosongan jawatan timbalan presiden, dan naib presiden berkemungkinan bertanggugnjawab atau menjadi dalang dan mastermind terhadap apa yang bergolak di Kedah?
Kedudukan timbalan presiden dan dua kerusi naib presiden sudah pasti menjadi rebutan apabila Muhyiddin Yassin sudah dibuang dari rejim Najib. Walaupun Muhyiddin bercadang untuk mempertahankan kedudukannya, tetapi sudah pasti bekas TPM itu tidak akan berkeupayaan kalau hanya dengan tangan kosong. Jadi mereka ini sudah menyedari akan peluang yang ada kepada Muhyiddin sangat tipis dan masa terbaiknya ialah waktu ini.
Jadi orang yang nampak ghairah untuk mengambil jawatan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Ahmad Zahid Hamidi. Kemunasabah ini bertambah apabila beliau kini dilantik menjadi TPM, dimana tanpa jawatan timbalan presiden menjadikan jawatan itu tidak relevan. Jadi Zahid pasti mahu menempatkan dirinya di situ. Zahid hendak tidak hendak harus meletakkan dirinya di posisi orang nombor dua bagi mengesahkan kedudukannya kini selaku TPM.
Senario inilah memungkinkan dilihat apa yang berlaku di Kedah itu boleh diterjemahkan adalah atas perancangan Zahid Hamidi? Mungkin persiapan telah dibuat bagi mempastikan dia akan menang selesa di kerusi timbalan presiden dalam PAU akan datang. Apa kena mengena Zahid dengan Kedah? Seperti di katakan tadi kerusi naib presiden menjadi kosong apabila Zahid berganjak ke atas. Kekosongan itu boleh diisi sesiapa daripada Kedah. Makanya untuk mengisi itu sesuatu harus digerak dan dilakukan dan seorang tokoh dari Kedah hendaklah ditonjolkan ke peringkat nasional.
Melihat kepada tokoh-tokoh Umno Kedah yang sesuai untuk melompat ke kerusi naib presiden ada dua orang berpotensi. Jamil Khir Bahrum dan juga Mahadzir Khalid. Dari segi ketokohan, kekuatan pengaruh dan bijak politik Mahadzir lebih berbanding dengan Jamil kerana Mahadzir pernah menjadi MB Kedah dan beliau sendiri juga berkelulusan Sarjana Sains Politik dari USAM. Bukan itu sahaja Mahadzir dikenali sebagai orang yang setia kepada Najib Razak.
Mengukur situasi ini, maka orang yang akan diimpikan menjadi naib presiden ialah Mahadzir Khalid. Mahadzir pula apabila dia dicalonkan untuk jawatan itu tentu gembira kerana akan melangkah naik setangga lagi. Dan inilah peluang Mahadzir untuk merebut tangga ketiga itu bersama tokoh-tokoh lain yan juga sudah mula menunjukkan minat. Kedudukkanya sebagai Meneteri Pelajaran juga adalah berpotensi untuk menjabat jawatan itu.
Dan bagi Zahid, Mahadzir boleh diasuh untuk menjadi pendokongnya dari Utara. Sebagai orang bercita-cita untuk menjadi PM, Zahid seharusnya mencari gandingan mantap yang setia. Zahid sedar pencabarnya untuk jawatan PM ialah Hishamuddin Hussein. Dua daripada tiga jawatan naib presiden mestilah orangnya.
Bila menyebut siapa lagi gandingan Zahid ini mungkin ia boleh dinamakan Ismail Sabri Yaakob. Sabri boleh mewakili zon Pantai Timur. Manakala Salleh Said Keruak dari Sabah pula akan diharap menjadi pesaing kepada Hishamuddin setelah Shafei Afdal sudah tidak mempunyai harapan lagi.
Jadi, peristiwa di Kedah adalah permulaan sebagai persiapan tokoh-tokoh disebut tadi untuk menguasai Umno dalam perhimpunan agung akan datang dan isu Mukhriz itu hanya sampingan sahaja?
http://msomelayu.blogspot.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan