"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz anggap Pas angkuh mahu tanding Permatang Pauh

MALAYSIA DATELINE
Kenyataan Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa parti itu akan bertanding di Permatang Pauh yang disandang PKR dianggap sebagai angkuh dan akan 'membunuh' parti itu sendiri.

Bekas Ketua Penerangan Pas datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu menunjukkan Pas seolah-olah mahu bertanding di semua kerusi pembangkang.

“Ini kenyataan angkuh daripada Pas yang membina persepsi pengundi. Mereka mengaku sebagai pembangkang, tetapi mereka enggan berunding dengan rakan pembangkang lain, tak boleh bertolak ansur dan mahu membolot semua kerusi.

“Akhirnya pengundi jemu dengan Pas dan putus asa sokong parti tersebut kerana menunjukkan kecenderungan kepada Umno. Saya yakin ahli Pas, bukan sahaja pengundinya, sebahagian besar beralih arah,” katanya.

Semalam, Mohd Amar berkata, Pas bukan sahaja akan bertanding di Permatang pauh malah akan meletakkan calonnya di semua kerusi PKR.

“Kita lawan, lawan tetap lawan, memang kalah nombor dua. Kalau lawan satu sama satu Alhamdulillah. Kalau tiga penjuru pun kita lawan juga.

“Setakat ini memang dah (kita lawan) sebab kita tidak ada hubungan dengan PKR, jadi mana-mana kerusi PKR kita akan bertandinglah...itu terserah kepada kita,” katanya seperti dipetik Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang masih ahli Pas berkata, kenyataan Mohd Amar juga memberi nafas kekuatan kepada Pakatan Harapan untuk menang walaupun terpaksa berdepan pertembungan tiga penjuru.

“Kalau Pakatan Harapan bertemu Umno dan Pas pada PRU14, saya yakin Pakatan Harapan akan menerima kemenangan mudah.

“Kebimbangan Pakatan Harapan adalah satu lawan satu dengan Pas jika parti ini mempunyai kerjasama Umno secara tidak langsung. Ia akan menggabungkan dua pengundi tegar yang boleh menjejaskan parti,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengingatkan Pas agar tidak lena dibuai mimpi indah berdasarkan keahlian parti yang ramai.

“Jangan lihat jumlah ahli dan jangan tengok jumlah kehadiran perhimpunan kerana itu bukan faktor kemenangan,” katanya.

Tiada ulasan: