Mira Khan
Saya berketurunan India Muslim. Moyang saya beserta keluarga datang ke Tanah Melayu di awal 1920-an.
Datuk saya yang lahir di India membesar di Tanah Melayu. Beliau berkahwin dengan wanita yang juga berketurunan India Muslim. Hasilnya, ayah saya lahir kira-kira sedekad sebelum kemerdekaan.
Seperti ayah, ibu saya juga berketurunan India Muslim. Beliau merupakan generasi kedua keluarganya yang lahir di negara ini.
Rekod kelahiran kedua-dua orang tua saya mencatat asal usul keturunan mereka sebagai “India Muslim”. Dalam masa yang sama, nama penuh mereka tiada “bin” atay “binti”, sebaliknya “a/l” (anak lelaki) serta “a/p” (anak perempuan).
Apabila saya dan adik-beradik saya lahir, kami juga dikategorikan sebagai berketurunan “India Muslim” di dalam surat lahir masing-masing. Bezanya dengan ibu dan ayah, kami secara automatik diberi “bin” dan “binti”.
Dengan meningkatnya usia kami adik-beradik, ayah dan ibu mula membuat perancangan untuk ke Tanah Suci. Bagi memudahkan urusan Tabung Haji, ayah serta ibu nekad menukar gelaran “a/l” dan “a/p” kepada “bin” dan “binti”.
Setelah menghadiri temuduga serta mengisi beberapa dokumen, penukaran tersebut dibuat dengan agak mudah.
Pada 1988, ketika kami berusia belasan tahun, ayah saya membawa kami sekeluarga ke sebuah bank untuk membuka akaun Amanah Saham Remaja di bawah ASB (Amanah Saham Bumiputera). Saya tidak tahu ketika itu apa maksud Bumiputera tetapi seingat saya, ayah ada memberitahu bahawa bukan semua orang yang dapat membuka akaun ASB, cuma orang yang istimewa sahaja.
Dengan adanya “bin” dan “binti” pada nama mereka, ayah dan ibu juga turut menjadi orang “istimewa” yang dapat membuka akaun ASB.
Apabila saya dan adik-beradik meningkat dewasa dan melanjutkan pelajaran, kami membuat permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi dengan mengkategorikan diri kami sebagai Bumiputera.
Setelah tamat pelajaran serta mula bekerja, adik-beradik saya mula membuat perancangan untuk membeli rumah demi pelaburan masa hadapan. Dengan adanya pangkat Bumiputera, mereka memperoleh diskaun yang khusus buat golongan Bumiputera sahaja.
Anak saudara saya yang lahir beberapa tahun kemudian juga berketurunan India Muslim seperti kami. Dan mereka juga ditauliahkan pangkat Bumiputera yang sama – setiap mereka mempunyai akaun Amanah Saham yang dikhaskan untuk golongan Bumiputera sahaja.
Sepanjang hidup, identiti saya sekeluarga kekal sebagai India Muslim dan Bumiputera.
Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengeluarkan kenyataan yang menerima golongan India Muslim sebagai Bumiputera.
Jika baru semalam keturunan kami dimahkotakan dengan gelaran Bumiputera, bagaimana pula saya sekeluarga dapat menikmati segala keistimewaan Bumiputera selama bertahun lamanya?
Adakah Najib selaku pemimpin tertinggi negara tidak tahu menahu bahawa kaum India Muslim sememangnya merupakan Bumiputera sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi? Pelik.
Mengapa kaum lain tak tuntut?
Walau bagaimanapun, apa yang saya rasakan lebih pelik adalah hakikat bahawa rakan-rakan saya yang mana moyang mereka juga datang dari India bagi membina kehidupan di Malaya, sama seperti moyang saya, tidak pula diberikan pangkat Bumiputera. Mengapa ya?
Dan rakan-rakan saya yang lain yang mana moyang mereka daripada China, sudah lebih lama bertapak di Malaya sejak beberapa generasi lebih awal daripada moyang saya – mengapa pula mereka tidak didaulatkan dengan pangkat Bumiputera?
Apakah kelebihan yang ada pada saya dan golongan berketurunan India Muslim yang lain, yang tiada pada mereka?
Pastinya ia bukan kerana saya beragama Islam kerana ramai golongan Bumiputera seperi Baba Nyonya, Siam serta Orang Asli bukanlah Muslim. Jadi apakah sebab sebenarnya?
Dan mengapa pula pihak yang memperjuangkan kaum India (seperti MIC) dan kaum Cina (seperti MCA) terus berdiam diri tanpa menuntut hak saksama sebagai Bumiputera seperti mana yang dilakukan oleh Kimma (Kongres India Muslim Malaysia) dan Permim (Persatuan India Muslim Malaysia)?
Semoga Najib dapat memberikan penjelasan. Pastinya kita tidak mahu orang menuduh kepimpinan kita sebagai memilih bulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan