FMT Reporters
PETALING JAYA: Dr Dzukefly Ahmad berkata menteri Umno menyerang Pakatan Harapan susulan pengumuman barisan kepimpinan gabungan itu kerana mereka tidak lagi melihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin yang berdaya maju untuk parti pemerintah.
Merujuk kepada “keadaan panik” dalam Umno dan seraksi sebilangan menteri kanan, pengarah strategik Amanah menyifatkan serangan mereka sebagai “amat buruk” dan tidak selaras.
“Pengukuhan gandingan lagenda Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkagumkan mereka.
“Pakar strategi Umno dan ‘spin doctor’ mereka, termasuk penulis blog, terperanjat, oleh sebab itu kenyataan mereka tidak lagi teratur. Lebih teruk lagi cubaan ahli akademi mereka di menara gading mereka,” kata Dzulkefly.
Beliau menambah tuntutan terkini Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk merampas aset yang dibeli dengan wang yang dikaitkan dengan dana pelaburan milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan sabitan jenayah terhadap ramai kenalan Low Taek Jho (Jho Low) dan pengakuan mereka di mahkamah Singapura, “menjadikan Najib pemimpin yang pincang dalam Umno dan BN”.
Dzulkefly berkata ketiadaan komen dari “menteri-menteri bijak” dari Umno, seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Johari Ghani dan Datuk Nur Jazlan Mohamed, selepas pengumuman DoJ bulan lalu, menunjukkan mereka tahu tidak berbaloi lagi mempertahankannya.
“Lebih teruk lagi, Umno berdepan keretakan dalam parti. Ringkasnya, selepas 2 sesi mengetepikan pemilihan parti, deram-derum dan perasaan yang tersembunyi semakin bertambah. Keretakan dalam kepimpinan tertinggi Umno adalah rahsia terbuka.”
Menurut Dzulkefly, sumber dalam Umno mengatakan ada 2 jalur pemikiran mengenai tarikh mengadakan pilihan raya umum akan datang.
“Ketua-ketua bahagian yang berterusan menikmati faedah kewangan melalui “naungan politik” mahu melengahkan pembubaran Parlimen selama mungkin, iaitu sehingga pertengahan tahun depan.
“Bagaimanapun, pemimpin akar umbi lain yang menderita, seperti rakyat biasa, mahu pembangkang ditewaskan secepat mungkin. Justeru, Najib terbelah bahagi,” kata Dzulkefly, sambil menambah Najib terkenal “suka mengelak daripada mengambil risiko”.
Pemimpin Amanah itu berkata kegagalan PAS menarik sokongan akar umbi, meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk memikat kepimpinan PAS, memburukkan lagi keadaan Najib.
“Tidak ada penyelesaian dalam masa terdekat, dan keadaan ini amat menyeksakannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan