"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dulu lain, sekarang lain: Hadi dan bayangan kabinetnya

Arham Merican
Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa anggota Kabinet hendaklah dipacu orang Islam dan bangsa paling berpengaruh, adalah pandangan politik peribadi beliau, bukannya berasaskan dalil syariah yang jelas.

Pandangan beliau yang menukilkan pandangan Imam Mawardi tentang hak zimmi dalam pentadbiran dengan tafsiran di luar konteks, seolah-olah menyatakan bahawa bukan Islam di Malaysia adalah golongan kelas kedua.

Malah ramai dalam kalangan orang Islam di Malaysia mempunyai salah faham dengan konsep Zimmi.

Tanggapan Zimmi sebagai masyarakat kelas kedua dalam sesebuah pentadbiran Islam dahulu adalah pandangan syaaz (pelik) dan dipopularkan oleh majoriti orientalis. Ia bercanggah dengan prinsip umum Islam yang menjamin karamah insaniah (kemuliaan manusia) dan hak sama rata manusia.

Dalam sejarah Islam, golongan ini diberi peluang memegang jawatan kerajaan kecuali jawatan yang memang lansung berkaitan dengan keagamaan seperti imam dan khatib. Mereka terlibat dalam penentuan dasar negara keseluruhannya tetapi tidak terlibat dalam hal ehwal keagamaan rakyat umat Islam.

Malah terdapat dalam sejarah terutamanya zaman Abbasiyah, rakyat Kristian dan Yahudi dilantik menjadi menteri dan gabenor di wilayah Islam seperti Nasar Harun, Isa Qasturas, Abu Saad Tastari, Bahram Armani dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, majoriti ulama pada zaman ini seperti Yusuf Al-Qaradawi, Ali al-Qaradhagi, Ben Bayyah, Rached Ghannouchi, Ahmad al-Raysuni, Muhammad Imarah, Tariq Ramadan dan lain-lain sepakat bahawa konsep Zimmi telah tidak wujud kerana wujudnya perbezaan konsep dan konteks kenegaraan.

Konsep ini diganti dengan konsep Muwathonah (kewarganegaraan) yang memberi hak sama rata kepada semua warganegara selagimana mereka mengiktiraf Perlembagaan termasuk hak untuk mengundi dan diundi di dalam pilihan raya.

Malah, menurut Qaradawi dan Qaradhagi, pembayaran jizyah (cukai dikenakan ke atas bukan Islam) tidak perlu diperjuangkan lagi dan perlu dihapuskan sekiranya bukan Islam terlibat dalam tugas mempertahankan negara, contohnya mereka menganggotai pasukan polis atau tentera.

Al-Qaradaghi yang juga setiausaha agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia juga menulis dalam kitabnya, Nahnu wa Akhar, bahawa konsep “Wizarah Tafwidh” dan “Wizarah Tanfiz” yang dipopularkan Imam Mawardi perlu difahami secara teliti kerana konsep negara pada hari ini adalah negara yang mempunyai perlembagaan di mana perdana menteri juga boleh dikategorikan sebagai Wizarah Tanfiz.

Semua pihak khususnya agamawan jangan terlalu mudah menggunakan teks zaman dahulu dalam konteks keadaan zaman sekarang yang bakal menyebabkan salahfaham berterusan terhadap Shariah dan Islam.

Selain itu semua pihak harus memainkan peranan bagi mengelakkan perpecahan, menyebarkan rahmah, dan mengekalkan keharmonian hidup bersama selaku rakyat Malaysia.

Arham Merican mewakili kumpulan advokasi syariah, Siasah Rahmah.

Tiada ulasan: