"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 remaja didakwa bunuh budak perempuan 14 tahun

DUA remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret di Temerloh hari ini atas tuduhan membunuh seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dua bulan lepas.

Zamirul Aliff Mohd Zaki, 19, dan seorang lagi remaja berusia 15 tahun mengaku faham akan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tiada pengakuan direkodkan kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa membunuh Nur Amira Abdullah di ladang kelapa sawit di tepi sungai Triang Estate, Bera antara pukul 1.10 pagi hingga 3.30 petang, 25 Oktober lalu.

Mereka yang berasal dari Bera, dekat Temerloh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Najwa menetapkan sebutan semula kes pada 24 Jan selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Tertuduh yang merupakan pelajar sekolah dan penuntut sebuah kolej tidak diwakili peguam pada prosiding itu. Kedua-dua mereka ditangkap pada 18 Disember.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan sebelum ini mengesahkan mayat Nur Amira ditemui orang awam dalam keadaan terapung di Sungai Triang pada pukul 3.30 petang, 26 Oktober. Nur Amira dilaporkan tidak bersekolah.

Mayat mangsa ditemui dengan banyak kesan luka tikaman di dada, abdomen, belakang badan, tangan dan kaki.
-Bernama

Tiada ulasan: