"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz: Sasar 40 kerusi petanda awal kerjasama PAS-BN

Tindakan PAS menyasarkan 40 kerusi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dianggap sebagai petanda awal kerjasama parti itu dengan BN, kata Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Malah Mahfuz menyifatkan kenyataan terbaru presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sebagai penipuan kepada anggota parti selepas mengatakan PAS akan menjadi kuasa penentu (king maker) dalam PRU14.

"Kononnya PAS nak jadi penentu apabila tiada parti yang boleh membentuk kerajaan selepas PRU14.

"Bagi saya ini adalah penipuan awal PAS. Saya minta maaf pada tok guru (Abdul Hadi), saya terpaksa menganggap ini adalah penipuan awal PAS kepada pengundi-pengundi," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi menjangkakan tiada satu pun parti yang dapat membentuk kerajaan selepas PRU14 dan sekiranya PAS menang 40 kerusi parti itu akan menjadi tempat bergantung parti lain yang mahu menubuhkan kerajaan.

Mahfuz yang juga bekas naib presiden PAS berkata, meskipun PAS menentang BN pada PRU14 namun kenyataan Abdul Hadi memberi gambaran kedua-duanya akan bekerjasama selepas pilihan raya.

"PAS kata tidak akan bersama BN, jauh sekali untuk bersama HARAPAN.

"Ini bermakna, mereka memberi gambaran selepas PRU14 kalau tiada parti dapat bentuk kerajaan, PAS akan jadi penentu," kata Mahfuz yang mengumumkan keluar daripada parti itu pada malam tahun baru lalu.

'PAS tidak akan pilih HARAPAN'

Bagaimanapun Mahfuz percaya PAS tidak akan memilih untuk bersama HARAPAN yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

"Saya percaya PAS tidak bersedia untuk dilihat sebagai penjilat ludah sendiri selepas memutus hubungan dengan DAP dan PKR kerana dianggap menentang agenda Islam PAS, menganggap BERSATU parti penyangak dan AMANAH parti pengkhianat," katanya.

Tambahnya, kenyataan Abdul Hadi itu diperkukuhkan dengan pendirian terdahulu bahawa PAS lebih senang dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam membawa agenda Islam.

Selain itu jelasnya, PAS Kelantan juga mengakui BN di zaman Najib lebih banyak membawa pembangunan kepada negeri itu berbanding sebelum ini.

Mahfuz berkata, keadaan itu menunjukkan PAS lebih bersedia menerima BN malah sudah mengisytiharkan taawun dengan parti yang sudah lebih 60 tahun mentadbir Malaysia.

"Sudah tentu alasan-alasan inilah yang akan menjadi faktor untuk PAS bersama BN selepas PRU14 sekiranya berjaya menang 40 kerusi.

"Inilah bagi saya penipuan awal yang dilakukan oleh PAS dengan menjual undi dan menjadikan pengundi sebagai barang dagangan politik.

"Kita minta supaya rakyat berfikir bahawa inilah bahayanya politik yang dibawa oleh PAS yang akhirnya akan mengekalkan kerajaan BN dan Najib terus menjadi perdana menteri," tegas beliau.
-malaysiakini

Tiada ulasan: