"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS beri isyarat mahu berbaik dengan Pakatan

PEMIMPIN tinggi PAS kini menunjukkan sikap berbeza ke atas Pakatan Harapan (PH), tidak sampai sebulan selepas gabungan parti tersebut berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Sebelum pilihan raya umum 9 Mei, PAS memutuskan hubungan dengan PH dan membentuk kerjasama tidak rasmi pula dengan parti utama BN, Umno.
PAS turut meletakkan calon di beberapa kawasan Parlimen dan negeri utama untuk menjadi pengacau bagi kemenangan BN.
Namun tidak sampai enam minggu selepas pilihan raya tersebut, lain pula yang disebut oleh veteran PAS Mustafa Ali ketika diwawancara The Malaysian Insight.
Mustafa memuji gabungan PH yang menghimpunkan Bersatu, DAP dan PKR, dan juga pemimpin utamanya, Dr Mahathir Mohamad.
"Ada kesungguhan kerajaan baharu ini untuk tunai janji khususnya apa yang ada dalam manifesto.

"Pada pengamatan saya, mereka khasnya Tun Mahathir sendiri sedang bekerja keras untuk cuba memenuhi apa yang dijanjikan itu," kata bekas setiausaha agung PAS itu.
Beliau juga berpendapat Dr Mahathir berjaya memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia dalam khususnya berhubung tindakan dalam kes 1MDB.
"Ia sedang diuruskan dengan cara yang agak cepat dan baik," kata pengerusi Lembaga Penasihat PAS itu.
Sejak Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran, siasatan dimulakan semula ke atas bekas perdana menteri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan berkenaan adalah berhubung dakwaan Najib menerima jutaan dolar ke dalam akaun peribadinya dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Pada tahun lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu berpuas hati dengan penjelasan oleh ketua pegawai 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan berbilion dana syarikat disalurkan kepada individu tertentu.
Parti itu kemudiannya menjelaskan mereka hanya berpuas hati dengan pelan rasionalisasi untuk menyelesaikan hutang 1MDB. Penjelasan itu dibuat selepas Dr Mahathir membuka semula siasatan ke atas 1MDB.

Veteran PAS Mustafa Ali memuji gabungan Pakatan Harapan yang menghimpunkan Bersatu, DAP dan PKR, dan juga pemimpin utamanya, Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2018.
Veteran PAS Mustafa Ali memuji gabungan Pakatan Harapan yang menghimpunkan Bersatu, DAP dan PKR, dan juga pemimpin utamanya, Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2018.

PAS menegaskan, parti itu tidak pernah berpuas hati dengan penjelasan berhubung kerugian yang didakwa dialami firma berkenaan.
Mustafa turut menyebut mengenai keputusan dan tindakan besar yang dibuat oleh pentadbiran Dr Mahathir.
Ia termasuk penangguhan projek landasan kereta api RM110 bilion menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, serta mengkaji semula projek East Coast Rail Link (ECRL) bernilai RM66 bilion.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan sudah pun berada di landasan yang betul walaupun mungkin tidak akan dapat melaksana kesemua manifestonya dalam tempoh 100 hari pertama.
"Saya rasa ada pengakuan jujur, mungkin tak dapat tunai dalam 100 hari pertama kerana kekangan ekonomi tetapi mereka dilihat ikhlas mahu melaksanakannya," kata Mustafa.
Pemimpin tinggi parti itu juga nampaknya mula mengurangkan retorik anti DAP dan anti PH yang kuat dimainkan sebelum PRU14.
Pada bulan lalu, setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan menegaskan pendirian rasmi PAS berhubung isu besar hanya boleh dinyatakan oleh beliau dan juga presiden dan timbalan presiden.
Ia bagi menjauhkan PAS daripada pandangan anti DAP daripada pemimpin akar umbi yang lebih konservatif.
Ini termasuk pandangan Pengarah Pusat Kajian PAS Mohamad Zuhdi Marzuki yang mendakwa PH menggunakan tema “Malaysia Baru” untuk melaksana agenda “Malaysian Malaysia”.
Zuhdi mendakwa PH mahu menukar kontrak sosial dan menjejaskan kedudukan istimewa bumiputera dan status Islam sebagai agama rasmi.
Mustafa menegaskan pandangan Zuhdi itu hanya mewakili golongan minoriti dalam parti tersebut.
"Ia tidak gambarkan pandangan mainstream dalam PAS. Ia hanya pandangan peribadi beliau yang tidak faham realiti sebenar politik Malaysia," kata Mustafa kepada The Malaysian Insight.
Beliau percaya pandangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berbeza dengan pandangan Zuhdi dalam hal itu.
Mustafa berkata hubungan di antara parti itu dan DAP “agak tajam” beberapa tahun lalu namun berharap kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam perkara asas.
Realitinya, PAS adalah satu-satunya parti politik yang pernah bekerjasama dengan semua parti di negara ini termasuk dengan DAP, katanya.
"Memang kita ada perbezaan tetapi ada banyak juga persamaan untuk membolehkan kita memberi sumbangan kepada negara.
"Persamaan lebih banyak berbanding dengan perbezaan yang kecil saja jumlahnya," katanya. 

Tiada ulasan: