"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas jangan sabotaj kerajaan yang dipilih rakyat

MALAYSIA DATELINE 
Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, tindakan Pas mengugut untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah merupakan satu bentuk usaha untuk mensabotaj kerajaan yang dipilih rakyat serta diperkenan oleh Paduka Seri Sultan Kedah.

Ujarnya, dalam keadaan Menteri Besar Kedah Dato Seri Mukhriz Mahathir telah membuka ruang yang luas untuk berunding dalam soal lantikan Speaker Dun Kedah, PAS lebih memilih untuk mengugut kerajaan negeri.

“Idea PAS agar diwujudkan kerajaan perpaduan di Kedah yang melibatkan kesemua pembangkang iaitu Pas dan Umno turut sama membentuk kerajaan tidak boleh dipaksakan terhadap kerajaan negeri.

“Ia bukan satu-satunya jalan untuk menyelesaikan perlantikan Speaker Dun Kedah yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan jalan rundingan.

“Sangat pelik Pas memberi kata dua iaitu memaksa diwujudkan kerajaan perpaduan atau PRN diadakan. Apa motif sebenar parti tersebut?

“Adakah ia bertujuan agar perjalanan kerajaan negeri untuk memberi khidmat kepada rakyat akan disekat apabila bajet dan segala hal berkait sidang Dun Kedah digagalkan oleh Pas?” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Dalam masa yang sama jelasnya, parti-parti kompenen Pakatan Harapan (PH) perlu berwaspada dengan taktik Pas tersebut. Setelah mereka gagal besar dalam pilihan raya umum yang lalu dengan bekerjasama secara tidak langsung dengan Umno, mereka dilihat sedang mencari pakatan baru untuk berpaut.

Kerjasama atas nama taawun yang mereka wujudkan telah menggagalkan mereka untuk mendapatkan target minimum mereka iaitu memenangi 40 kerusi parlimen, kata beliau.

“Sedangkan mereka secara berterus terang menyebut sedia membentuk kerajaan dengan BN atas nama ‘King Maker’. Selepas pilihan raya pula ada usaha daripada Pas untuk bekerjasama membentuk kerajaan dengan Umno di Perak.

“Namun setelah gagal perancngan mereka itu, hari ini mereka cuba berbaik dengan kerajaan PH. Ini jelas daripada kenyataan Presiden Pas minggu lalu bahawa Pas sedia bekerjasama dengan mana mana parti termasuk DAP.

“Begitu juga tawaran mereka untuk membentuk kerajaan perpaduan di Kedah ini merupakan bunga-bunga untuk menyertai PH,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer itu.

Tambah Mohd Sany, hubungan mereka dengan Umno dan pengkhianatan mereka terhadap Pakatan Rakyat dahulu membuktikan Pas bukanlah parti yang baik untuk dijalinkan kerjasama.

Tiada ulasan: