"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Biarkan anak saya bersemadi sebagai orang Islam, rayu ibu

Predeep Nambiar
GEORGE TOWN: Ibu kepada K Surinder Kaur hari ini merayu supaya jenazah anaknya dibiarkan bersemadi bersama bapa dan abangnya, yang beragama Islam.

Nazirah Bibi, 68, berkata anak perempuan bongsu itu baru-baru ini memberitahu seorang ustaz kenalan keluarga bahawa sekiranya dia meninggal dunia, dia mahu dikebumikan disamping bapa dan abang.

“Dua minggu lepas dia bagi tahu demikian kepada ustaz itu, dan sekarang, dia sudah tiada lagi,” ketika ditemui di rumahnya di Jelutong.

Surinder, 37, meninggal dunia pada Isnin selepas mengalami cedera otak akibat serangan.

Dia menjadi tumpuan baru-baru ini selepas beberapa pihak mempersoalkan status agamanya berikutan berita bahawa tiada dokumen membuktikan dia beragama Islam.

Dia dikebumikan di tanah perkubutan Masjid Jelutong di sebelah jenazah bapanya, Kirpal Singh @ Mohamad Qurban Ali dan abangnya, Narinder Singh @ Irfan Khan.

Nazirah berkata, Surinder, anak bongsu dari 6 adik-beradik mengamalkan ajaran Islam, tetapi status agama dalam kad pengenalannya tidak ditukar atau memaklumkannya kepada pihak berkuasa agama.

Nazirah berkata Surinder memeluk Islam 20 tahun lalu apabila suaminya masuk Islam. Beberapa minggu kemudian, seluruh ahli keluarganya memeluk Islam.

Qurban meninggal pada usia 57 pada 2007.

“Kogee (nama timangan Surinder) juga macam kami. Dia ucap kalimah shahadah banyak kali,” katanya.

Rakan keluarga, Hamidah Begum, 45, memberitahu, Surinder rakannya sejak kecil dan mengenalinya sebagai seorang Islam sejak muda lagi.

‘Surinder tidak balik 2 hari’

Nazirah berkata, Surinder seorang jurujual kosmetik, dan sebelum kematiannya, dia bekerja di medan selera di Prangin Mall.

Surinder tinggal bersamanya di flatnya dan merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarganya.

Nazirah berkata 2 hari sebelum kematiannya, dia tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata seorang lelaki berusia 55 tahun, yang didakwa memukul anaknya dengan topi keledar hingga mati adalah “kenalan keluarga”.

Nazirah menganggapnya seperti “anak angkat”.

Lelaki itu bekerja sendiri dan pernah mengubah suai rumah mereka, katanya.

Nazirah menangkis laporan mendakwa lelaki itu teman lelaki Surinder.

“Mereka cuma kenalan. Surinder tidak pernah rapat dengan lelaki itu dan tidak suka pun padanya. Macam mana (mahu kata) dia kekasih?” katanya.

Katanya, Surinder dilihat dengan lelaki itu di rumah lelaki tersebut di Kampung Pisang Awak, Jelutong.

Tetapi apabila abangnya pergi mencarinya, dia tidak ada di situ.

Katanya, lelaki itu pernah minta wang daripada Surinder dan rasa lelaki tersebut mungkin menahannya.

“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan. Dia orang baik dan tidak patut mati,” kata Nazirah.

Abang Surinder, Imran Khan, 47, memberitahu dia membuat 3 laporan polis terhadap “komen-komen jahat” yang mempersoalkan agama adiknya.

Surinder ditemui dalam keadaan tidak sedar di Persiaran Bayan Indah selepas satu pertengkaran pada Sabtu malam.

Beliau meninggal dunia pada Isnin.

Tiada ulasan: