"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua syarikat arak jadi 'kesayangan' kastam?

B Nantha Kumar

Mulai 1 April 2017, kerajaan menguatkuasakan Pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 agar pengimport minuman keras dan rokok mengemukakan lesen import semasa membuat pengisytiharan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pindaan tersebut digubal untuk menangani sindiket yang menjalankan modus operandi penyeludupan dari zon bebas cukai tanpa proses kelulusan kastam.

Bagaimanapun pindaan itu menyaksikan banyak syarikat diberi lesen import oleh JKDM dan didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menyeludup masuk alkohol dan rokok ke negara ini.

"Secara amnya, pelaksanaan mahupun pindaan sebarang akta dan undang-undang adalah bagi tujuan memperketatkan atau memperkemaskan sistem pentadbiran yang sedia ada.

"Tapi dalam kes ini (pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017) penyeludupan rokok dan alkohol menjadi lebih mudah," kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

Katanya, sebelum pindaan dibuat, jumlah syarikat mengimport minuman keras hanya dalam lingkungan 50 syarikat sahaja tetapi kini meningkat sehingga 500 syarikat.

"Kesemua syarikat ini mendapat lesen import daripada JKDM.

"Dengan penambahan 500 syarikat ini pendapatan negara sepatutnya meningkat sekurang-kurangnya lima kali ganda.

"Tapi laporan menunjukkan pendapatan negara melalui bayaran duti import tidak begitu memberangsangkan. Jadi kenapa 500 syarikat ini diberi lesen oleh JKDM?" soal sumber berkenaan.

Sumber tersebut juga mendedahkan maklumat mengenai dua syarikat yang didakwanya sebagai 'syarikat kesayangan' JKDM.

Penemuan Malaysiakini mendapati pemilik syarikat pertama yang mendapat lesen import arak pada Mei 2017 dipercayai merupakan 'orang kuat' kepada salah seorang pemimpin tertinggi semasa pentadbiran kerajaan BN.

Carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan syarikat itu beralamat di bandar Sunway, namun pemeriksaan di premis itu oleh Malaysiakini mendapati pejabat syarikat berkenaan tidak wujud.

Dengan menggunakan dokumen-dokumen palsu, syarikat itu dikatakan mengaut keuntungan antara RM5 juta hingga RM7 juta setiap bulan.

Lesen tamat tapi masih import arak

Lebih mengejutkan, syarikat itu masih beroperasi walaupun Ketua Pengarah JKDM, Paddy Abd Halim mengesahkan lesen import syarikat itu dibatalkan pada Ogos 2018 selepas dikesan disalahgunakan bagi tujuan penyeludupan arak.

Pada 13 Disember lalu, dokumen "Intergrated Import Document" (IID) yang diluluskan oleh kastam di Pelabuhan Klang Utara menunjukkan syarikat tersebut masih membawa masuk alkohol import dari pelabuhan Shanghai.

Butiran dokumen itu menunjukkan syarikat tersebut sebagai "consignee" atau penerima barangan import 24 palet bir.

Bagaimanapun difahamkan barangan itu ditahan oleh JKDM kerana kesalahan tidak membayar cukai import.

Anehnya, tiada sebarang tindakan diambil oleh JKDM terhadap syarikat terbabit dan menimbulkan persoalan bagaimana sebuah syarikat yang ditamatkan lesen masih boleh beroperasi?

Ketika dihubungi kemudian, seorang bekas pegawai tertinggi JKDM mengakui masih terdapat pegawai-pegawai jabatan itu terlibat dengan amalan rasuah.

"Kebanyakan kes-kes tertangkap ini melibatkan pegawai-pegawai tidak terima rasuah. Namun tetap tiada tindakan selepas pegawai-pegawai ini dipaksa berundur daripada kes-kes ini oleh arahan dari 'atas'," dakwanya.

Lesen diberikan sehingga setahun

Sementara itu, JKDM turut memberi lesen kepada sebuah lagi syarikat beralamat di Brickfields dengan jumlah kuantiti untuk mengimport arak sebanyak 230 juta liter.

Selain memegang rekod pengimport minuman alkohol terbesar di Malaysia, syarikat itu juga dikatakan mempunyai tempoh lesen 'istimewa' iaitu selama setahun.

Dokumen-dokumen JKDM yang dipanjangkan kepada Malaysiakini menunjukkan syarikat itu diberi lesen import dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019.

Sehingga kini syarikat itu membawa masuk antara 60 hingga 70 kontena minuman keras ke Malaysia dan diberi kebenaran khas oleh JKDM untuk mengimport hampir semua jenama minuman beralkohol.

Ini termasuk jenama-jenama yang diberikan hak ekslusif kepada syarikat-syarikat tempatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beberapa wakil syarikat pengimport minuman keras terbesar berkata mereka hanya dibenarkan mengimport dengan kuantiti jauh lebih kecil berbanding syarikat terbabit.

"Kami antara syarikat bir terbesar di dunia masih diberi tempoh kelulusan tiga bulan sahaja. Kuantiti pun dalam 300,000 hingga 400,000 liter sahaja.

"Kita tak boleh salahkan pengarah syarikat ini. Tapi mesti ada sesuatu (tak kena) di pihak Jabatan Kastam," kata seorang pengarah sebuah syarikat bir yang beroperasi di Selangor.

Batal lesen masih boleh beroperasi

Sementara itu, Paddy ketika dihubungi berkata beliau tidak boleh memberi sebarang komen berkaitan isu mengenai syarikat berkenaan secara spesifik.

"Maaf, saya tidak mampu bantu kamu. Saya tidak berhak memberi sebarang komen terhadap syarikat-syarikat tertentu," katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu sesetengah syarikat yang dibatalkan lesen import masih boleh beroperasi.

"Batal lesen bermakna tidak boleh import. Bukan tak boleh operasi. Syarikat mungkin ada stok lama, buat perniagaan lain," jelasnya.

Namun, beliau tidak menjelaskan kenapa masih tiada tindakan diambil terhadap syarikat yang dibuktikan menyalahgunakan lesen import dan terlibat dalam kes penyeludupan.

Tiada ulasan: