"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam 'langgar pantang' buka pintu buat kerajaan Kelantan

N Faizal Ghazali

Tidak seperti amalan lazim sekian lama, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) hari ini bersetuju melantik seorang wakil kerajaan negeri sebagai anggota lembaga pengarah agensi kerajaan persekutuan itu meskipun berbeza parti.

Pengerusi Kada Senator Husam Musa berkata pihaknya bersetuju menerima cadangan daripada kerajaan pusat untuk meletakkan seorang wakil mereka dalam agensi terbabit.

Kata Husam, idea melantik wakil kerajaan negeri pimpinan PAS itu dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Menurut bekas pemimpin kanan Kelantan itu ideal memasukkan wakil kerajaan negeri sekadar saranan dan bukan satu kemestian.

"Saya telah berbincang dengan menteri. Walaupun tidak wajib tetapi menteri berbincang dengan menteri besar Kelantan bagi memberi laluan supaya kerajaan negeri mencadangkan wakil mereka sebagai ahli lembaga pengarah Kada," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hasil dan zakat Projek Ladang Merdeka di Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

Husam dilantik sebagai pengerusi Kada berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.

Bagaimanapun kata Husam buat masa ini agensi itu belum membuat sebarang lantikan bagi mengisi jawatan ahli lembaga pengarah.

"Sekarang ini lembaga pengarah Kada belum dibentuk.

"Saya sangat bersetuju dengan idea itu dan insya-Allah satu kunjung hormat menteri dan saya kepada menteri besar akan dilakukan bagi membincangkan isu berkaitan kepentingan petani-petani di Kelantan," katanya.

Ada hujan tapi kurang kesan

Untuk rekod sebelum ini semasa BN mentadbir Putrajaya, Kada dikendalikan sepenuhnya oleh pimpinan kerajaan dan tiada wakil dari pembangkang diberikan tempat.

Dalam perkembangan lain, Husam berkata sebanyak 15 pam mudah alih berkuasa tinggi - bernilai RM12 juta - akan dibekalkan Kada dalam usaha membantu petani yang berdepan masalah kerosakan tanaman padi akibat musim keramau.

Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada menteri berkaitan dalam mesyuarat yang diadakan esok bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan segera.

Katanya, pam itu akan dibekalkan termasuk di Kemubu untuk menyalurkan air kepada pesawah di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok.

"Kesan pam mudah alih ini akan mengambil masa dalam tempoh enam hingga lapan bulan, bukan dengan kadar segera. Tetapi ini adalah penyelesaian paling segera yang mampu kami lakukan.

"Disebabkan musim ini hanya tinggal dua bulan, jadi kaedah ini dapat digunakan pada musim tanaman kedua tahun ini.

"Bagi pesawah di Tumpat dan Pasir Mas, mereka dibekalkan air dari pam di Mekasar serta pam Batu Hampat, Tumpat," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai usaha Kada melakukan pembenihan awam sebelum ini, Husam menjelaskan perkara itu tidak memberi kesan yang tinggi susulan cuaca terlalu kering.

"Tetapi pada Khamis dan Jumaat lalu terdapat hujan di beberapa tempat termasuk Machang, tetapi ia tidak dapat menyelesaikan keperluan air yang diperlukan pesawah masa ini," katanya.

Tiada ulasan: