"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib bayar RM3.49 juta selepas bank silap proses cek, kata saksi

Bekas perdana menteri Najib Razak telah membuat bayaran berjumlah RM3.49 juta kepada Firma Guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak selepas berlaku kesilapan ketika pemprosesan cek yang menyebabkan firma itu hanya memperoleh wang sebanyak RM3,500 berbanding jumlah sebenar RM3.5 juta.

Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek Ambank cawangan Jalan Raja Chulan Badrul Hisam Mohamad berkata baki jumlah itu telah dimasukkan Najib ke dalam akaun firma guaman tersebut pada 12 Feb 2015.

“Baki bayaran itu dibuat melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) oleh pelanggan bernama Datuk Seri Mohd Najib Razak,” katanya yang merupakan saksi kelima pendakwaan.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari kelima perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak adalah firma guaman yang banyak mewakili Najib dan mengendalikan kes saman sivil bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, saksi itu memberitahu berlaku kesilapan oleh bank penerima iaitu CIMB Bank cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila hanya memasukkan wang berjumlah RM3,500 ke dalam akaun firma tersebut.

“Kami (pihak Ambank) tidak tahu perkara ini sebelum diberitahu pihak bank penerima iaitu CIMB Bank PWTC.

“Semasa bank penerima proses cek, jumlah yang sepatutnya dikreditkan ke dalam akaun penerima Hafarizam Wan & Aisha Mubarak ialah RM3.5 juta tetapi pihak bank penerima telah buat kesalahan input apabila hanya mengkreditkan sebanyak RM3,500 sahaja,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
-Bernama

Tiada ulasan: