"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas mungkin mangsa ‘cah keting’ Umno

NASUHA RAHMAN
Pas mungkin akan menjadi mangsa budaya ‘cah keting’ di dalam Umno apabila gabungan kedua-dua parti ini berdepan dengan pembahagian kerusi di dalam PRU15 nanti, demikian menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.

Beliau berkata, ‘cah keting’ ini satu budaya yang sebenarnya sukar untuk dikikis kerana ia sudah menjadi cara hidup atau tradisi di dalam Umno.

“Sebenarnya, di dalam Umno mereka sendiri bertarung satu sama lain bersaing untuk menguasai tampuk kepimpinan sehingga banyak berlaku cah keting.

“Sebagai contoh kekalahan BN di Terengganu dan Kelantan sejak daripada dahulu lagi bukan kekalahan mereka disebabkan kekuatan lawannya, tetapi budaya cah keting di dalam Umno sangat kuat,” katanya.

Beliau turut menimbulkan persoalan, adakah Umno dan Pas telah bersetuju untuk membahagikan kawasan-kawasan untuk ditandingi dalam masa yang sama adakah boleh memuaskan hati ketua-ketua mereka ini.

“Mungkin di hadapan mereka setuju di belakang mereka cah keting atau melakukan sabotaj kepada parti,”ujarnya.

“Misalnya ‘worldview’ penyokong Pas, Islam mesti di atas tidak boleh di bawah, bolehkah dalam satu masa gabungan mereka untuk meletakkan nasionalisma di atas, yang tinggi daripada Islam.

“Mungkin akan timbul ketidakpersetujuan agenda, prinsip dan perjuangan Pas yang dibawa.

“Umno pula ketua-ketua mereka tidak akan berkompromi kerana sudah lama mereka berjuang untuk menguasai tampuk pimpinan bahagian tiba-tiba hendak diserahkan kepada parti dalam gabungan ini. Ini satu perkara yang bukan mudah,” katanya ketika ditemui.

Mazlan berkata demikian bagi mengulas senario politik di dalam Pas-Umno selepas kerjasama kedua-dua parti ini diputuskan di dalam Muktamar Pas di Kuantan baru-baru ini.

Beliau tidak menolak senario ini akan berlaku seperti mana hubungan Pas dengan Semangat 46 yang akhirnya berpecah kerana parti gabungan itu tidak boleh mengatasi ideologi Islam yang dibawa oleh Pas.

“Parti ini selama-lamanya adalah musuh ketat. Kalau lihat dalam Pas ia sebuah parti yang bawa konsep ketuanan dan Islam yang memerintah serta memperjuangkan hukum-hukum seperti hudud.

“Bagi memastikan Islam mendapat tempat dalam perjuangan Pas, mereka tidak boleh meletakkan ideologi lain di dalam perjuangan mereka. Jadi Pas tidak boleh berkompromi dalam keabsahan mereka membentuk negara Islam,” ujarnya.

Dengan gabungan Pas-Umno ini beliau percaya ada cabaran besar yang perlu dihadapi kedua-dua parti ini, dan bagi Pas perlu melihat sejarah Umno kerana perkara ini akan menjadi pencetus kepada perpecahan gabungan ini.

Tiada ulasan: